Pengecualian cukai taksiran dipertimbang ikut Seksyen 134 dan 135, Akta Kerajaan Tempatan 1976 – Datuk Bandar

GEORGE TOWN – Permohonan bagi pengecualian cukai taksiran di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan dipertimbangkan mengikut Seksyen 134 dan 135, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Perkara tersebut diumumkan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif pada Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 9 Tahun 2017 di sini baru-baru ini.

Katanya, permohonan berkaitan adalah meliputi rumah-rumah ibadat, tanah perkuburan atau krematorium awam berlesen, sekolah awam, tempat awam yang digunakan bagi maksud khairat, sains, seni serta pegangan yang digunakan tujuan rekreasi, sosial atau kebajikan dan bukannya bermotifkan keuntungan.

“Bagi tujuan pertimbangan pengecualian cukai ini, pihak pemohon hendaklah mengemukakan beberapa salinan dokumen serta dua kriteria yang perlu dipenuhi sebelum syarat-syarat lain dipertimbangkan.

“Permohonan boleh dihantar terus ke Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta, MBPP, Paras 12, Komtar atau menerusi pertanyaan dengan menghubungi, 04 – 259 2266 atau faksimili, 04 – 263 3763, atau emel, [email protected],” jelas Maimunah.