Bilik Penyusuan & Tukar Lampin Tmn. Metropolitan Relau dinaik taraf

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PAYA TERUBONG – Sejumlah RM400,000 setahun diperuntukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mengurus dan menyelenggara kemudahan serta infrastruktur di Taman Metropolitan, Relau di sini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, kemampuan Majlis bukan hanya dilihat kepada penyediaan prasarana,
malah juga perkhidmatan penyelenggaraan secara berkala dan efisien.

“Ia bertujuan memastikan orang awam yang beriadah dapat menikmati kemudahan selesa dan selamat,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke Taman Metropolitan, Relau di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaludin.

Selain suasana landskap yang menarik, taman rekreasi tersebut turut menyediakan pelbagai kemudahan lengkap seperti trek joging, padang permainan kanak-kanak, alatan senaman, kolam rekreasi, laman rehat, panggung mini, pentas dan surau.

Tambah Patahiyah, bagi menjadikan taman tersebut sesuai dikunjungi oleh semua golongan, MBPP pada awal tahun
ini telah menambahbaik kemudahan sedia ada dengan menaiktaraf sebuah Bilik Penyusuan dan Tukar Lampin.

Dalam pada itu, Chong Eng berharap segala fasiliti dan kemudahan riadah yang disediakan secara percuma dapat dimanfaatkan masyarakat umum, terutamanya dalam merapatkan hubungan ukhwah kekeluargaan.

}