City Walk 1.1.15 sasar 10,000 peserta

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Pengembara Pulau Pinang (PAC) buat julung kalinya bakal membuka penyertaan percuma kepada mereka dilahirkan pada 1 Januari bersempena tarikh penganjuran acara tahunan, City Walk 1.1.15 di sini pada 1 Januari 2015.

Wakil PAC, Wong Pang Kong berkata, penganjuran bersempena sambutan Hari Bandar yang jatuh pada tarikh berkenaan menjangkakan penyertaan seramai 10,000 peserta di Padang Kota Lama di sini.

“Program tahunan tersebut adalah bagi menggalakkan gaya hidup sihat di samping membawa para peserta menyelusuri dengan lebih dekat keindahan George Town membabitkan perjalanan sejauh lima kilometer (km).

“Antara tempat-tempat bersejarah dan menarik yang bakal dilalui peserta adalah Masjid Kapitan Keling, Khoo Kongsi, Kuil Teochew, Kuil Mahamariamman dan Fort Cornwallis,” ujarnya pada sidang media pengumuman penganjuran program City Walk 1.1.15 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Jabatan Korporat MPPP, Fadzillah Hussain. Tambah Pang Kong, sebagai tambahan, acara cabutan bertuah juga bakal diadakan khas kepada para peserta yang berjaya menghabiskan perjalanan selama dua jam di garisan penamat.

Penyertaan terbuka kepada orang ramai. Yuran pendaftaran sebanyak RM10 bakal dikenakan untuk mereka berumur 13 tahun ke atas, 5 hingga 12 tahun (RM5) dan lima tahun ke bawah (percuma).

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, layari laman sesawang, www.mppp.gov.my atau http://www.pac.com.my atau emelkan kepada [email protected].

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 November 2014.