Penduduk pertikai mutu selenggara, ICU perlu beri penjelasan – Exco

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MARK JAMES

TELUK AIR TAWAR – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini mengadakan lawatan ke Pangsapuri Indah, Taman Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara (SPU) setelah mendapat rungutan daripada penduduk berhubung tahap mutu dan kerja-kerja penyelenggaraan tidak memuaskan.

“Kerja-kerja menyelenggara Pangsapuri Indah Fasa 1C ini adalah sebahagian daripada program membaikpulih dan menyelanggara perumahan bertingkat di
bawah TP1M (Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia).

“Ia merangkumi kerja-kerja pengecatan, pembaikan bumbung, pembaikan am, mencuci tangki air, lantai kaki lima, pembaikan paip agihan, kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan pemasangan lif yang keseluruhannya berjumlah RM1,080,000 di mana Kerajaan Negeri menyumbang 30 peratus (RM324,000) di bawah program HAPPY! (Housing Assistance Programme of Penang, Yes!),” ujarnya sejurus mengadakan tinjauan ke kawasan tersebut di sini baru-baru ini.

Turut sama, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Indah Fasa 1C, Asma Hussain.

Jagdeep ketika ditemui berkata, beliau terkilan apabila menerima aduan secara bertulis daripada JMB Pangsapuri Indah Fasa 1C pada 24 September lalu.

“Antaranya aduan berkaitan adalah tahap mutu dan kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan adalah kurang memuaskan, misalnya kerja-kerja membaiki bumbung hanya beberapa jubin bumbung sahaja ditukar dan ada jubin yang rosak tidak ditukar sebaliknya ditampal dengan simen.

“Juga, aduan kerja-kerja pengecatan semula tidak berkualiti dan tiada langkah-langkah  keselamatan yang diambil untuk menjamin keselamatan penduduk,” tegasnya.

Jelas Jagdeep, Kerajaan Negeri memandang serius aduan yang telah diterima dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan penjelasan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU).

“Wang yang digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan ini sama ada daripada Kerajaan Pusat melalui TP1M ataupun Kerajaan Negeri melalui HAPPY!, adalah wang rakyat dan mesti digunakan secara telus dan akauntabiliti.

“Kerajaan Negeri dalam pada itu turut menuntut agar kerja-kerja penyelenggaraan di bawah TP1M yang dibiayai bersama HAPPY! adalah memenuhi semua
spesifikasi teknikal serta berkualiti tinggi.

“Memandangkan pelaksanaan perojek-projek penyelenggaraan di bawah TP1M adalah dikendalikan secara keseluruhan oleh Kerajaan Pusat, maka ICU yang mengendalikan tabung ini perlu memberi penjelasan segera dan memuaskan,” tegas Jagdeep lagi.