CNN ‘beri’ sebab untuk ke Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi diberi pengiktirafan oleh stesen penyiaran berpangkalan di Amerika Syarikat, CNN dengan menyenaraikan sembilan sebab untuk datang ke Pulau Mutiara tanpa dikaitkan dengan faktor makanan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, pengiktirafan di peringkat antarabangsa tersebut bukanlah kali pertama.

“Sebelum ini, Pulau Pinang turut disenaraikan sebagai salah satu daripada 17 destinasi di dunia yang harus dikunjungi pada tahun ini oleh CNN.

“Pulau Pinang diletakkan di tangga kedua di belakang Prince Edward Island, Kanada dan menjadi antara tiga destinasi di Asia yang tersenarai selain Thailand dan China,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, pastinya umum mengetahui bahawa Pulau Pinang terkenal dengan jolokan ‘syurga makanan’.

“Tetapi pengiktirafan terbaru oleh CNN ini langsung tiada kaitan dengan makanan, sebaliknya memberi sembilan sebab mengapa anda perlu ke Pulau Pinang.

“Antara yang disebutkan ialah kesenian moden elektisisme, seni mempertahankan diri (silambam), teater patung tangan yang menjadi tradisi suku Hokkien, pusat peranginan Bukit Bendera dan ‘Hungry Ghosts’ yang menjadi ritual pada bulan ketujuh mengikut kalendar Lunar,” jelasnya.

Artikel bertajuk ‘9 reasons to visit Penang that have nothing to do with street food’ oleh Marco Ferrarese itu diterbitkan secara atas talian di CNN. com pada 14 Februari 2017.