Hari Keluarga Balik Pulau tarik penyertaan setempat

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

TELUK KUMBAR – Hujan lebat pada hari penganjuran Hari Keluarga Parlimen Balik Pulau Kawasan Gertak Sanggul langsung tidak menjejaskan semangat 500 peserta yang turut serta pada program yang diadakan di persisir pantai sebuah restoran di sini baru-baru ini.

Paling mencuri tumpuan adalah acara tarik tali membabitkan kategori lelaki serta wanita.

Tambah berseri adalah kehadiran Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang menyempurnakan perasmian acara berkaitan.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid berkata, penganjuran program yang dimeriahkan dengan acara sukaneka, tarian zumba, pertandingan mewarna, cabutan bertuah serta penyertaan pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta tersebut adalah bertujuan mengeratkan silaturrahim antara masyarakat setempat bersama-sama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di sini.

“Ini merupakan anjuran JKKK Gertak Sanggul dan mendapat kerjasama baik daripada seluruh JKKK kawasan Balik Pulau,” ujarnya bersempena penganjuran Hari Keluarga Parlimen Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim
Hussain.

Malah, para pengunjung turut dihiburkan bekas pelajar Akademi Fantasia Musim Ke-lima yang juga anak kelahiran Pulau Pinang, Aswad.

Tambah Halil Sabri, sumbangan pelbagai pihak terutamanya Ahli-ahli majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), JKKK dan syarikat-syarikat swasta yang menjayakan penganjuran berkenaan.