Perlawanan persahabatan usaha tarik anak muda

Teks & Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menganjurkan Pertandingan Bola Keranjang Persahabatan dengan Kelab Bola Keranjang Akira sebagai usaha menarik lebih ramai golongan muda mendekati sukan itu di sini baru-baru ini.

Pertandingan bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Akira itu menyaksikan pasukan Afif menentang kelab anak muda Akira secara tujuh sebelah.

Menurut Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, ia merupakan kali pertama beliau cuba bermain bola keranjang.

“Walaupun saya aktif bersukan, tetapi ini adalah kali pertama saya cuba permainan bola keranjang.

“Terima kasih kepada Kelab Bola Keranjang Akira kerana sudi menjayakan pertandingan persahabatan ini dan mengajar saya sedikit-sebanyak ilmu permainan ini,” ujarnya pada program berkenaan di sini baru-baru ini.

Selaras dengan penganjuran tersebut, Afif melalui Pejabat ADUNnya turut menyampaikan sumbangan 24 biji bola keranjang baru kepada kelab terbabit bagi membolehkan pihak berkaitan mengembangkan aktiviti sukan sihat itu.

“Dengan pemberian bola baru ini, diharap kelab ini dapat menjalankan aktiviti dengan lebih kerap sekaligus menarik lebih ramai anak muda melibatkan diri dalam sukan ini.

“Saya tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan pertandingan seperti ini sebagai aktiviti tahunan di sini nanti,” kata Afif.