Ibrahim Abu Bakar, polis yang tak penat berbakti

PADA 22 tahun yang lalu, beliau berkongsi modal dengan kakaknya untuk membeli sebidang tanah di Kampung Tasek dekat Kubang Menerong dalam Kawasan Parlimen Kepala Batas atas amanat ayahnya.
Tinggal lapan bulan lagi dalam perkhidmatan, Supritendan Tuan Haji Ibrahim Abu Bakar yang juga Ketua Jabatan Ketenteraman Awam merangkap Ketua Trafik Negeri Pulau Pinang kini gigih membina Madrasah Abu Bakar, demi terus menabur bakti kepada masyarakat.

“Sebagai pegawai polis ini, kita banyak berdamping dengan masyarakat, bukanlah kerana saya akan menamatkan perkhidmatan dalam PDRM tidak lama lagi.

“Tujuh tahun dahulu, tanah ini dijadikan kebun dengan tanam durian, rambutan dan sebagainya, dan ada lah bina pondok-pondok kecil, sehinggalah saya berasa tempat ini lebih sesuailah untuk saya menghabiskan sisa-sisa umur saya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“Apa yang saya sedang buat dengan sokongan kawan-kawan ini sebenarnya sudah menjadi suatu kepuasan,” jelas Ibrahim dalam wawancara bersamasama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dekat tapak pemajuan di sini baru-baru ini.

Ibrahim merupakan generasi ketiga yang membesar dalam keluarga polis dan mempunyai seorang isteri.

Kesemua tujuh orang cahaya matanya kini berjaya dalam dunia akademik masing-masing sungguhpun pengajian awal mereka dari sekolah aliran agama.

Ibrahim sangat meminati rekacipta landskap berasaskan pengkayuan, serta berkepakaran dalam bidang selam
skuba.

Mengenai projek pemajuan madrasah ini, Ibrahim memberitahu, kecuali rumah beliau dan sebuah rumah anaknya, kira-kira tiga suku ekar akan diwakafkan untuk pembangunan sebuah surau, kelas-kelas tahfiz, pondok-pondok untuk penginapan pelajar, dewan makan dan sebuah dewan orang ramai.

“Kebetulan Kariah di Kubang Menerong ini ada tiga kariah, Taman Seri Menerong ada sebuah surau, Kampung Pokok Jenerih pun ada satu Surau Dato’ Sulaiman, cuma di Kampung Tasek sahaja yang masih belum ada surau.

“Saya nak membina surau dua tingkat sahaja, supaya bahagian atas boleh dijadikan kelas tahfiz al-Quran  dan di bawah sebagai dewan solat dan mengaji kitab.

“Dengan adanya sebuah madrasah di sini, maka, ada lah pengajian agama di Kampung Tasek ini, ada kelas tahfiz al-Quran untuk anak-anak kita, pembelajaran akademik, manfaatnya akan melimpah ke masyarakat sekeliling kampung ini,” ujarnya yang juga anak jati Pulau Pinang.

Menurut beliau, batu asas projek pembangunan Madrasah Abu Bakar ini dilangsungkan pada 19 Oktober 2014,
dalam satu majlis di sini yang disertai lebih 200 hadirin daripada kalangan pegawai kerajaan serta komuniti setempat.

“Selepas pada itu, projek di sini nampak lebih berjalan lancar dan mula disebarkan apabila saya diberi peluang untuk memberi penerangan di Masjid Kubang Menerong.

“Pada hujung tahun lepas, kita mendapat kelulusan sebagai Pertubuhan Kebajikan Madrasah Abu Bakar di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan).

“Nama Madrasah Abu Bakar ini sempena ambil nama khalifah pertama kita, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, kebetulan nama al-marhum bapa saya pun Abu Bakar bin Hashim (bekas Ketua Polis Balai Butterwoth) dan beliau lah mencadangkan saya membeli tanah ini,” jelasnya.

PENGALAMAN
Terlanjur berbicara, Ibrahim turut menceritakan mengenai pengalaman menjadi seorang anggota polis demi
memelihara ketenteraman awam dan kedaulatan tanah air.

“10 tahun pertama itu, saya berkhidmat dalam pasukan polis hutan, semasa negara masih di bawah ancaman Parti Komunis Malaya (PKM).

“Ada banyak cabaran dan kisahkisah yang boleh menjadi kenangan manis dan teladan, antaranya semasa berusia awal 20-an, saya telah menjadi platun komander memimpin 35 orang bertugas dalam sebulan (hingga) dua bulan di dalam hutan.

“Pertempuran pada 13 Oktober 1978 tepat pada jam 10.30 pagi, platun saya yang terdiri oleh 10 orang telah berjaya menumpaskan tiga pengganas komunis di Budu Estet, Kuala Lipis (Pahang), pertempuran Operasi Indera II ini, saya masih ingat dan susah untuk lupa.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan saya hampir 40 tahun ini, saya pernah duduk dalam pelbagai jabatan, kecuali (Jabatan) Cawangan Khas,” kata beliau.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, Ibrahim memberitahu bahawa beliau pernah menjadi jurulatih polis hutan, terlibat secara langsung dalam bidang pengurusan pentadbiran kepolisan serta hal ehwal menangani jenayah, hatta, pernah menjadi Ketua Pegawai Keselamatan kepada Sultan Pahang.

AKADEMIK
Walaupun dihambat pelbagai tanggungjawab dalam perkhidmatan, tahu-tidak tahu Ibrahim berjaya mengejar pengiktirafan akademik.

Beliau mempunyai Diploma Ilmu-Ilmu Pengajian Islam, Diploma Psikologi & Kaunseling, Diploma Sains Kepolisan

“Pada tahun 2008, saya dapat Sarjana Sains Sosial dalam Analisis Strategi & Keselamatan di UKM.

“Setakat ini, anak Melayu PDRM (yang ada diploma) dalam Sains Kepolisan, Ibrahim Abu Bakar itu adalah orang yang dapat CGPA 4.0 dan belum lagi ada Melayu yang lain (memecahkan rekodnya),” seloroh Ibrahim.

CABARAN
Dalam pada itu, Ibrahim mengakui bahawa PRK Permatang Pauh sekarang adalah suatu tanggungjawab yang mencabar.

“Cabaran pertama saya datang ke Pulau Pinang adalah menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) P51 Parlimen Bukit Gelugor dan tak sampai setahun, saya menghadapi cabaran di PRK P44 Parlimen Permatang Pauh pula.

“Pilihanraya ini pun bukan senang untuk memastikan ketenteraman awam terus terpelihara, tetapi, saya yakin di bawah kepimpinan Ketua Polis Negeri (Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi) yang berpengalaman, kita boleh melakukan yang terbaik,” ujar beliau.

Ibrahim turut mengulas mengenai anasir pelampau Islamic State (IS) yang dikatakan turut menyerap masuk
di tanah air ini.

“Keadaan keselamatan dan ketenteraman awam serta jenayah di negeri Pulau Pinang adalah tenang dan
terkawal.

“Walaupun ada isu-isu keganasan, tetapi, tidak ada isu-isu menarik yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, khusnya di negeri Pulau Pinang,” katanya.

HARAPAN
Ibrahim berharap slogan PDRM bagi tahun 2015, iaitu “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” dapat
direalisasikan di negeri ini sebaik mungkin.

“Walau apa pun, polislah yang bersama masyarakat dan masyarakat pun boleh melihat, berdamping dan
membantu polis untuk memastikan ketenteraman awam di negeri ini terus dipelihara.

“Kerana, polis ada di manamana, di panggung wayang pun ada polis, di jalan raya pun ada polis, di kawasan-kawasan awam pun ada polis, gambarannya polis bersama masyarakat dan masyarakat pun mesti menganggap polis ini sebagai ‘polis mereka’.

“Menjadi anggota polis ini memang tak penat berbakti untuk masyarakat, jadi, saya harap Madrasah Abu Bakar inipun boleh menjadi tempat untuk saya sekeluarga berbakti kepada masyarakat,” jelas Ibrahim.

Tambahnya, Lembaga Pengurusan Madrasah Abu Bakar dapat membuat pengambilan 15 hingga 20 orang murid pada bulan Mei tahun depan, selepas projek komuniti tersebut siap nanti.

Info lanjut, hubungi Ibrahim Abu Bakar di talian 019 – 465 3399 dan sumbangan cek atau tunai boleh dibuat pada nombor akaun Maybank 5574 – 4750 – 2774 atas penama Madrasah Abu Bakar.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);