Jangan anak tiri rakyat P. Pinang dalam pembekalan rumah – Exco

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai Pengerusi Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) digesa menyatakan pendirian yang lebih konsisten mengenai rancangan Kerajaan Pusat membina rumah mampu milik berwajib di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, gesaan tersebut dibuat melalui suatu surat rasmi kepada Ali baru-baru ini.

“Dalam surat itu, saya menuntut penjelasan mengenai status pelaksanaan PR1MA kerana dia (Ali Hamsa) adalah Pengerusi (PR1MA) yang baru.

“Sebab utama adalah sebelum dia (Ali Hamsa), terdapat pelbagai kenyataan daripada beberapa wakil Kerajaan Persekutuan yang semuanya tak konsisten,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim kepada Ahli Parlimen Bagan, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 25 November tahun lepas, antara lain menyebut telah mengenalpasti 20, 121 hektar tanah di Gelugor, Balik Pulau dan Teluk Kumbar untuk 6,100 perumahan PR1MA, namun, tiada maklumat konkrit hingga kini.

Bahkan, beliau memberitahu, Shahidan dilaporkan turut mengaku bahawa suatu projek perumahan yang terdiri daripada 267 unit PR1MA untuk rakyat Pulau Pinang telahpun mendapat kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Apa yang penting ialah garis masa pelaksanaan dan penyampaian projek perumahan PR1MA untuk rakyat Pulau Pinang.

“Malangnya, apabila disemak dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), tiada apa-apa permohonan daripada pihak PR1MA,” tegasnya.

Justeru, Jagdeep memberitahu, Ali digesa menjelaskan secara terperinci mengenai lokasi cadangan pemajuan PR1MA, serta tempoh masa untuk Kerajaan Pusat mendapatkan kelulusan kebenaran merancang daripada PBT dan waktu memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal berwajib di negeri ini.

“Maka, saya menyeru Kerajaan Persekutuan, khususnya Pengerusi PR1MA yang baru, jika betul-betul ingin membina perumahan tersebut di Pulau Pinang, eloklah datang bersemuka dengan Kerajaan Negeri dan beritahu permasalahan yang dihadapi untuk diselesaikan demi kepentingan umum,” tegas beliau lagi.

Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam satu mesyuarat pada 8 Februari tahun lepas turut mengesahkan Kerajaan Pusat akan membina unit rumah PR1MA di negeri ini, namun Kerajaan Negeri sehingga kini masih tidak mendapat maklum balas secara terperinci mengenai rancangan pemajuan berwajib tersebut.

Lanjutan itu, Jagdeep dalam satu surat rasmi bertarikh 14 Februari tahun lepas turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama demi memastikan rancangan Kerajaan Pusat membina unit rumah PR1MA di negeri ini sesegera mungkin.

“Kerajaan Persekutuan pada pengumuman belanjawan lepas menyatakan bahawa sebanyak RM1.3 bilion diperuntukan untuk membina 80,000 unit PR1MA di negara ini, saya berharap manfaatnya dapat dikongsi di Pulau Pinang kerana Pulau Pinang merupakan penyumbang cukai ketiga paling tinggi untuk negara.

“Dia (Ali Hamsa) wajar bersikap adil dengan rakyat Pulau Pinang, kerana rakyat Pulau Pinang pun adalah warganegara Malaysia, dan janganlah dianaktirikan dari segi pembekalan perumahan rumah mampu milik di bawah PR1MA,” kata Jagdeep pada kenyataan terbarunya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep dalam sidang media berasingan sebelum ini turut mengingatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan sindiket tertentu dalam mendapatkan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik melibatkan kutipan wang.

Beliau berkata demikian sebagai respons pada sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan beberapa warganegara di luar negeri mengaku ditipu antara RM2,500 h ingga RM7,000 untuk mendapatkan unit PR1MA di negeri ini.

“Sebagai Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) yang perihatin, kita tidak mengutip satu sen pun dalam membuat permohonan bagi ketiga-tiga kategori rumah yang disebutkan,” jelas beliau.

Serentak itu, Jagdeep turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Pengerusi PR1MA, Allahyarham Tan Sri Dr. Ir. Jamaluddin Jarjis yang terlibat dalam satu tragedi kemalangan udara baru-baru ini.