Karnival Kerjaya platform dapat pekerjaan sesuai

BAYAN LEPAS – Penganjuran Karnival Kerjaya dan Temuduga Terbuka Kali Keenam adalah sebagai platform untuk menyediakan maklumat tepat bagi memudahkan usaha pencari kerja mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, pada masa sama, penganjuran berkaitan juga bertujuan menyesuaikan bakat pencari kerja dengan majikan berpotensi daripada pelbagai industri dalam negara.

“Sekarang ini, isu pengangguran telah menjadi fenomena yang membimbangkan di banyak negara termasuk Malaysia.

“Namun begitu, walaupun Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran antara paling rendah, iaitu sebanyak 1.2 peratus, tetapi kita (Kerajaan Negeri) sangat prihatin dan mahu memberi peluang kepada pencari kerja.

“Jadi, kita anjurkan karnival ini sebagai platform untuk menyediakan maklumat tepat bagi memudahkan usaha pencari kerja,” ujarnya dalam ucapan pembukaan sebelum melancarkan karnival itu di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Bendahari Perbadanan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) Malaysia (SME Corp. Malaysia) Seberang Perai, Leong Yook Kheong; Pengarah Urusan PenExpo, Francis Wong serta Penolong Pengurus Hotel Vistana, Jacqueline Pensyl.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid menzahirkan ucapan penghargaan kepada Perbadanan PKS Seberang Perai dan PenExpo kerana membantu menganjurkan karnival tersebut serta pihak pengurusan hotel yang telah menyediakan ruang untuk pelaksanaan program berkaitan.

“Karnival ini juga membuka ruang, terutama bagi syarikat multinasional untuk mencari bakal pekerja.

“Terdapat 20 syarikat yang mengambil bahagian dan 1,000 peluang pekerjaan disediakan dalam pameran kali ini, termasuk untuk jurutera, pembantu jurutera, juruteknik dan lain-lain,” ujarnya.

Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut menasihati mereka yang masih gagal mendapatkan pekerjaan agar tidak berputus asa.

“Kadang-kala kegagalan untuk mendapatkan pekerjaan adalah disebabkan oleh resume pencari kerja yang kurang berkesan.

“Justeru, dalam karnival kerjaya kali ini, Jobstreet. com telah menyediakan ‘Resume Clinic’ untuk membantu para pencari kerja.

“Jika anda telah menghantar 50 permohonan untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi satu pun tidak dijawab, anda pasti tertanya-tanya, mengapa. Jadi, kami jemput pihak yang lebih pakar untuk berkongsi dengan anda bagaimana caranya untuk menyediakan resume yang mengagumkan dan mengasah kemahiran anda untuk mendapatkan pekerjaan,” tambahnya.