KM terkilan, insiden tidak bermoral jadi tajuk utama

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berasa terkilan apabila isu berhubung kegiatan tidak bermoral yang diadakan di Teluk Kampi, Teluk Bahang menjadi tajuk utama dalam laporan media di negara ini.

Beliau mempersoalkan laporan-laporan tersebut berikutan insiden sama turut pernah berlaku di Terengganu, Johor dan Perak beberapa tahun lalu, namun perkara tersebut tidak pula dilaporkan secara meluas.

“Laporan sebegini seolah-olah sengaja dibesar-besarkan kerana ia melibatkan negeri Pulau Pinang dan anda tahulah kenapa, isuisu sebegini sengaja dipolitikkan.

“Insiden sama turut berlaku di beberapa buah negeri lain, tetapi tidak pula dilaporkan di muka hadapan, apabila terjadi di Pulau Pinang, terus menjadi tajuk hangat sehingga berhari-hari,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri tidak pernah memberi kelulusan untuk menganjurkan acara sedemikian, apatah lagi aktiviti tidak bermoral.

“Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sepatutnya bertanggungjawab untuk menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya kerana Taman Negara di sini adalah di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

“Laporan polis juga telah dibuat dan saya percaya pihak polis sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku,” ujar beliau.

Terdahulu, rakaman video bertajuk ‘Penang Nude Sports Games’ yang memaparkan aksi 18 individu lelaki dan wanita berbogel ketika melakukan aktiviti di tepi pantai di Teluk Kampi, Teluk Bahang telah mengundang pelbagai reaksi.

Penganjuran aktiviti tersebut dipercayai dianjurkan komuniti yang mengamalkan budaya songsang dan tidak bermoral selain berselindung di sebalik aktiviti yang kononnya berbentuk penjagaan alam semulajadi.