KN cakna sekolah Tamil, sumbang tanah bina kantin baharu

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan terus memartabatkan infrastruktur sekolah-sekolah Tamil di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Atas maksud itu, Ramasamy memberitahu, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) menyumbang sebidang tanah kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Changkat, Nibong Tebal untuk pembinaan kantin baharu.

“Kerajaan Negeri memberi peruntukan setiap tahun sejak 2008 melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-sekolah Tamil bagi pembangunan sekolah-sekolah berkaitan di Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kantin Baru SJKT Ladang Changkat di sini baru-baru ini.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dalam pada itu turut memuji inisiatif Persatuan Ibu Bapa Dan Guru-Guru (PIBG) sekolah berkenaan kerana berusaha merealisasikan projek pembinaan infrastruktur tersebut.

Tambahnya, pentadbiran Ketua Menteri sejak beberapa tahun lepas lagi acap kali mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat menyumbang sebidang tanah untuk Kerajaan Persekutuan membina Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil pertama negara di negeri ini, namun seakan diabaikan oleh pentadbiran Putrajaya.