Hadapi era digital, KM cadang mata pelajaran asas pengekodan peringkat sekolah

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mewujudkan mata pelajaran asas pengekodan atau coding di setiap sekolah sebagai salah satu subjek pilihan dalam usaha mencetuskan minat para pelajar terhadap dunia sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM.

Beliau berkata, cadangan berkenaan diutarakan berikutan beberapa sektor industri kini menghadapi kekangan pekerja mahir dalam bidang perisian digital.

“Saya percaya, kebolehan pengekodan adalah penting terutama dalam menghadapi era digital kini, kebolehan pengekodan adalah bakat.

“Impak positifnya adalah kita mampu mengembangkan lagi bakat sedia ada dalam bidang kejuruteraan perisian, dan pastinya ia akan menjana pertumbuhan ekonomi dengan mencipta peluang pekerjaan baharu,” ujarnya sejurus meluncurkan inisiatif terbaru Kluster Sains Pulau Pinang (PSC), Code-on-Wheels dekat Wisma Yeap Chor Ee di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai; Pengarah PSC, Datuk Yoon Chon Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif PSC, Ooi Peng Ee.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, jika suatu ketika dahulu kaedah 3M iaitu membaca, menulis dan mengira menjadi tunjang utama, namun di era serba moden ini, kebolehan pengekodan atau mengekod perlu menjadi nilai tambah.

“Dahulu cuma ada 3M, kini perlu tambah satu lagi M menjadikan 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan mengekod.

“(Dan) dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan STEM, saya yakin minat terhadap pengekodan akan merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri ke arah kecemerlangan sains dan teknologi,” katanya.

Difahamkan, melalui kenderaan Code-onWheels, PSC akan menyediakan 40 unit komputer riba ke sekolah-sekolah bagi memberikan pendedahan kepada pelajar untuk mengenali apa itu pengekodan.

Para pelajar akan belajar cara untuk mencipta video muzik atau permainan video menggunakan Scratch, program bahasa yang dicipta oleh universiti antarabangsa, Massachusettes Institute of Technology (MIT).

Matlamat utama Code-on-Wheels adalah untuk menggarap minat pelajar terhadap pengekodan yang kemudiannya akan menjadi sebahagian hobi bermanfaat, dan PSC bercadang menggandakan usaha tahun hadapan bagi membolehkan lebih banyak sekolah mengenali kaedah pengekodan.