KN komited pelihara Sg. Pinang demi generasi masa depan

SUNGAI PINANG – Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen tinggi dalam memastikan kebersihan Sungai Pinang dapat ditingkatkan sekaligus terpelihara untuk generasi akan datang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri akan terus mengadakan pemantauan dengan lebih terperinci dan berusaha memastikan tahap pencemaran Sungai Pinang dapat dibendung.

Jelasnya, Kerajaan Negeri mengambil intensif tersebut selepas menyedari kepentingan penjagaan sungai terutama untuk generasi masa hadapan.

“Perbezaan amat ketara jika dilihat dari segi kondisi Sungai Pinang dahulu dan kini.

“Sungguhpun masih terdapat sampah-sarap terutama di bahagian hulu Sungai Pinang, saya percaya usaha yang dijalankan akan memberi impak yang positif kelak, ” ujarnya sejurus mengadakan tinjauan khas sempena Hari Alam Sekitar Sedunia menyelusuri Sungai Pinang di sini baru-baru ini.

Turut sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Kapten (B) Ir. Anuar Yahya; Pengarah Bahagian Perbandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mubarak Yunus; Penolong Jurutera Jabatan Alam Sekitar, Syaifulbahrin Jalaluddin dan Jurutera Daerah Timur Laut, Haslinda Mohamad Hamran.

Hasil tinjauan, menurut Kon Yeow, menunjukkan bahagian hulu sungai terutama di kawasan Kampung Rawa, Kampung Makam, Taman Free School, pasar Jalan Kuantan dan Sungai Jelutong tercemar dengan kuantiti sampah domestik yang banyak.

“Sampah-sarap ini termasuk pelepasan enap cemar dari saluran kumbahan, sisa buangan dari premis perniagaan atau rumahrumah di tepi sungai, botol-botol plastik dan tin minuman, aerosol serta makanan dan sisa-sisa tidak dirawat turut dijumpai terapung sepanjang tinjauan ini.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan) telah menggerakkan pasukan petugas khas untuk terus memantau tahap pencemaran di sepanjang Sungai Pinang hingga ke hilir, termasuk mengadakan lawatan yang lebih kerap serta melaporkan sebarang jenis pencemaran yang menjejas kualiti air,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kon Yeow menyeru semua pihak terutama mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Pinang supaya mengambil sikap kebertanggungjawaban terhadap kebersihan alam sekitar termasuk Sungai Pinang.

“Sama-samalah kita pelihara sungai kita demi kelestarian generasi masa hadapan,” seru beliau.