Kompleks Pasar Bt. Ferringhi termoden, mesra pengguna

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

BATU FERRINGHI – Berita pembinaan Kompleks Pasar dan Penjaja Batu Ferringhi di Bandar Batu Ferringhi di sini merupakan utusan gembira penduduk sekitar setelah menunggu selama 17 tahun.

Pelaksanaan projek tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Pasar dan Penjaja Batu Ferringhi dekat Lot 481, Seksyen 1, Bandar Batu Ferringhi baru-baru ini.

“Syabas dan tahniah kepada MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) kerana komitmen yang diberikan dalam merealisasikan inspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa.

“Saya percaya dengan pelaksanaan kompleks ini, ia akan memberi nilai tambah kepada pembangunan di Bandar Batu Ferringhi sejajar dengan perkembangan ia (Batu Feringghi) sebagai ‘the engine of growth’ dalam sektor pelancongan serta pembangunan negeri,” ucapnya sejurus sebelum majlis pecah tanah berlangsung.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail, Pengarah Bangunan MPPP, Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah Sutera Design Architect, Ar. Mohamad Mulhaf Amrose.

Dalam pada itu, Patahiyah ketika berucap menyatakan bahawa MPPP mengaplikasi metodologi Gender Responsive Budget dan Outcome Based Budgetting dalam pembinaan kompleks berkenaan.

“Melalui metodologi tersebut, bukan sahaja kita (MPPP) menitikberatkan soal gender, tetapi juga soal komuniti seluruhnya yang pastinya akan menyumbang kepada transformasi lebih positif dan lestari,” jelas beliau.

Patahiyah memberitahu, Kompleks Pasar dan Penjaja Batu Ferringhi dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2015 dan menelan kos sebanyak RM9,073,574. Kompleks Pasar dan Penjaja Batu Ferringhi terdiri daripada 16 unit gerai makanan dan minuman, 28 unit gerai di pasar basah dan pasar kering, sebuah dewan serbanguna yang berkapasiti 600 orang, restoran makanan segera, tiga gelanggang badminton, perpustakaan mini, bilik komuniti, bilik kebudayaan, pejabat pengurusan, bilik mesyuarat, ruang parkir dan tempat letak basikal.

Apabila siap kelak, kompleks bangunan dua tingkat tersebut adalah yang paling moden dan bercirikan mesra pengguna.