Aktiviti fizikal beri manfaat besar kesihatan – Rashid

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PANTAI JEREJAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Datuk Mohd. Rashid Hasnon mengajak semua anak muda supaya memanfaatkan aktiviti fizikal terutamanya bersenam untuk kekal sihat dan cergas.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Zumba Merdeka 2014 yang diadakan di Taman Sunway Tunas di sini sempena sambutan
kemerdekaan baru-baru ini.

Katanya, dengan proses urbanisasi dan perkembangan teknologi, gaya hidup anak-anak muda kini semakin sedentari (melakukan kerja sambil duduk) dan aktiviti-aktiviti fizikal lain semakin berkurangan.

“Oleh itu, saya ingin menyeru semua pihak terutamanya anak-anak muda untuk melakukan aktiviti fizikal seperti zumba ini, bagi mengekalkan kesihatan serta kesejahteraan kita bersama.

“Aktiviti fizikal seperti ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada kesihatan semua orang, tetapi juga dari segi psikologi, fizikal dan sosial,” katanya yang mengajak peserta zumba untuk menyertai sesi zumba yang diadakan setiap hari Selasa jam 8 malam di padang Taman Sunway Tunas ini.

Rashid yang juga Timbalan Ketua Menteri I turut berkongsi beberapa amalan dan manfaat aktiviti fizikal termasuk membantu pencegahan osteoporosis dan penyakit kronik.

Jelas Rashid, mereka yang kerap melakukan aktiviti fizikal bukan sahaja sihat, tetapi juga awet muda dan lebih cergas walaupun usia telah mencapai 60 tahun.

Penganjuran karnival tersebut adalah sebahagian inisiatif dijalankan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Tengah Utara dalam mempromosikan gaya hidup sihat sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah Pulau Pinang yang lebih sihat dan selamat.

Karnival Zumba Merdeka yang mendapat tajaan pemaju, Ideal Properties Group dan Wow Fit dihadiri kira-kira 1,000 individu dari pelbagai lapisan masyarakat serta usia.