Kuatkuasa Dasar Asing Sisa Di Punca tidak ditangguh, umum Kon Yeow

Admin

PENGKALAN KOTA – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, langkah penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bermula pada 1 Jun 2017 adalah dilaksanakan secara berperingkat.

Justeru, beliau mengerah semua pihak memberi partisipasi penuh dengan melaksanakan amalan berwajib tersebut di premis masing-masing, kerana penguatkuasaan dasar tersebut tidak ditangguhkan seperti disebut segelintir pihak.

“Kita (Kerajaan Negeri) boleh melambatkan lagi langkah penguatkuasaan ini sekiranya rakyat Pulau Pinang adalah setanding dengan (penduduk) bandar-bandar antarabangsa yang lain dari segi kebersihan dan taraf hidup.

“Penguatkuasaan dasar ini adalah salah satu langkah yang perlu diambil, bukan satu-satunya cara; dan kita masih meneruskan program kempen kesedaran seperti setahun lalu supaya semua pihak mula mengamalkan dasar ini,” katanya dalam Majlis
Peluncuran Penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dekat Macallum Street di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir merasmikan majlis tersebut.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

Menurut Kon Yeow, undang-undang kecil yang telahpun digubal membolehkan mahkamah mengenakan denda penjara tidak lebih daripada RM2,000 atau satu tahun atau kedua-duanya kepada pesalah.

Malah, tambahnya, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga boleh mengeluarkan kompaun kepada pesalah terbabit dalam kadaran maksimum RM250.

“Saya menyeru semua orang sama ada penduduk, pemimpin tempatan, NGO (badan bukan kerajaan) dan wakil rakyat untuk menyokong usaha ini bersama Kerajaan Negeri untuk mencapai keputusan diingini,” ujar Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kompaun berwajib boleh diberikan kepada badan pengurusan (MC) kediaman atau individu yang dikenal pasti tidak melaksanakan dasar tersebut.

Serentak dengan langkah penguatkuasaan, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau serta kedua-dua pihak PBT akan melaksanakan operasi pemantauan secara berkala, yang ketika ini menumpu kepada kawasan kediaman kategori kondominium di bahagian pulau dan Seberang Perai.

Difahamkan, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang serta MPSP dan MBPP lebih setahun lalu menganjurkan kempen kesedaran mengenai amalan pengasingan sisa di punca, sebelum langkah penguatkuasaan secara berperingkat dilaksanakan bermula 1 Jun 2017.