Laporan media massa diseru patuhi Akta Kanak-kanak 2001

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Media massa diseru supaya mematuhi peruntukan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi melindungi kepentingan dan  kebajikan kanak-kanak dari sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan serta eksploitasi.

Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq berkata, setiap anggota masyarakat sama ada individu atau organisasi perlu memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

“Ia bertepatan dengan intipati Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang selaras dengan falsafah Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-kanak 2001 yang menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

“Di bawah Seksyen 15 Akta tersebut jelas memperuntukkan sekatan ke atas laporan dan penyiaran gambar kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam kes jenayah sama ada melalui media cetak mahupun perantaraan elektronik.

“Oleh itu, penganjuran forum-forum yang membincangkan soal privasi kanak-kanak seperti ini perlu dipergiatkan agar pengamal media tahu batas-batas untuk melaporkan sesuatu kes jenayah melibatkan kanak-kanak,” katanya yang hadir sebagai ahli panel pada Forum Privasi Kanak-kanak dan Media anjuran Pusat Kesedaran Wanita (WCC) di sini baru-baru ini.

Jelas Jahabar, melalui pengalaman melaporkan kes-kes jenayah melibatkan individu berumur bawah 18 tahun yang terlibat dalam jenayah seksual, beliau mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan butiran peribadi mangsa kerana undang-undang sedia ada jelas melarang penyiaran sedemikian.

“Media tidak boleh mendedahkan gambar, nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa maklumat yang membolehkan kanak-kanak tersebut dikenalpasti dalam tindakan yang sedang diambil atau sekiranya kanak-kanak tersebut adalah seorang saksi dalam kes-kes jenayah.

“Etika penyiaran perlu dihormati dan pastinya masyarakat akan faham kenapa berita tidak melaporkan secara penuh, bukan sahaja untuk melindungi privasi kanak-kanak berkenaan, tetapi juga untuk mengimbangi antara hak privasi serta kepentingan awam,” jelasnya.

Nada yang sama turut disuarakan Pengarang Wanita dan Keluarga The Star, Ivy Soon dan bekas Pegawai Eksekutif Centre for Independent Journalism, Masjaliza Hamzah.

Hadir sama, Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan, Editor The Edge, Terence Fernandez, Pengarah Eksekutif WCC, Loh Cheng Kooi, pensyarah-pensyarah kewartawanan dan pelajar media massa tempatan, Penang Institute, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), wartawan tempatan serta pengamal terapi kanak-kanak.

Dalam pada itu, Pegawai Advokasi WCC, Joshua Teh ketika membentangkan hasil kajian beliau menyatakan bahawa melalui pemantauan pihaknya terhadap laporan akhbar-akhbar di Malaysia melibatkan jenayah seksual kanak-kanak, didapati terdapat laporan pendedahan butir-butir peribadi kanak-kanak berkaitan termasuk tempat tinggal dan umur sehingga kerahsiaan kes ‘dicabul’.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja merupakan pelanggaran hak privasi kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007, malah juga membantutkan proses pemulihan supaya kanak-kanak berkenaan dapat melupakan pengalaman pahit yang terjadi.

“Kanak-kanak berkenaan akan mengalami tekanan hidup dan sentiasa merendah diri kerana malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling terutama di kawasan kejiranannya. Hal ini akan menyebabkan kemurungan dan boleh membawa kepada kejadian tidak
diingini seperti bunuh diri,” tegas beliau.

Pelanggaran Akta berkenaan adalah suatu kesalahan dan jika disabitkan, pelapor atau individu bertanggungjawab boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Berikut adalah pecahan daripada 382 laporan kes jenayah melibatkan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun mengikut bahasa akhbar bagi tempoh Mei – September 2014.