Jangan kedekut kongsi kejayaan – Faizah Shirad

PADA 12 tahun dulu, kawasan pesisiran pantai Teluk Tempoyak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung di sini adalah belukar, tempat pembiakan habitat berbisa.

Selepas berkunjung ke sini, Faizah  Shirad, 51, memasang tekad untuk memajukan sebuah restoran makanan laut segar, berbekalkan sedikit modal daripada suami.

“Saya sendiri jual rumah di Pulau Langkawi dan suami kebetulan baru dapat duit pencen sebagai pesara tentera pun keluarkan sedikit duit untuk modal memajukan kawasan ini,” ujarnya semasa diwawancara wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini.

Menurut Faizah, Kedudukan kawasan tersebut yang jauh daripada perhatian umum antara cabaran awal semasa membuka Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak.

Kedua, katanya, orang awam anggap kawasan ini berbahaya, susulan tragedi tsumami semasa itu.

Ketiga, katanya, tempat ini pernah hampir tutup disebabkan tindakan pihak tertentu, tetapi, telahpun hampir diselesaikan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Kedudukannya di sebalik bukit serta dekat dengan pantai, ramai takut tsunami, tetapi, kawasan ini memang tak pernah dilanda bencana.

“Lama-kelamaan, perniagaan di sini semakin baik dan nampak hasil berkat daripada kesabaran, terutama selepas beberapa rancangan televisyen seperti Jalan-Jalan Cari Makan, Tiga Hari Dua Malam, Jelajah Utara, Kuali Oh Kuali, Periuk Brunei Kuali Malaysia mempromosi keistimewaan resepi di restoran ini,” kata beliau di sini.

Kini, Faizah memberitahu, Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak menjadi salah satu destinasi pelancongan makanan laut pilihan di
negeri terutama pada musim cuti sekolah serta cuti hujung minggu.

“Resepi berasaskan makanan laut, antara menu yang paling laris adalah ‘Rasa Sayang’, ketam lembut masak tepung, telur sotong, ‘Idaman Masalla’.

“Kebanyakan menu istimewa ini adalah resepi tradisi turun temurun, ada juga beberapa resepi lain dicipta di sini ditawarkan dengan mutu dan harga berbaloi,” katanya sambil melahirkan rasa syukur kepada Ilahi.

Faizah anak jati Sungai Bakap dekat Seberang Perai Selatan (SPS), bersalam jodoh dengan segan orang Pulau Langkawi, Hassan Isa, 52. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, umur antara 26 tahun hingga 22.

“Saya sentiasa cari redha Allah tak kira dalam apa juga kerja buat saya,” menjadi prinsip hidup Faizah.

Beliau merupakan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Islamis, iaitu Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

KEMASYARAKATAN
Walaupun dihambat pelbagai tanggungjawab perniagaan, Faizah berkata, tanggungjawab kepada masyarakat tidak pernah diabaikan.

Tahu tidak tahu, beliau ada membina rumah perlindungan remaja wanita di negeri ini, menggunakan sebahagian keuntungan niaga.

“Hasil perniagaan di sini, antaranya diperuntukan untuk ‘wakaf sementara’ Rumah Perlindungan Remaja Wanita Raudatussakinah dekat Sungai Bakap,” ujarnya.

Faizah berkata, beliau turut mencuri masa untuk mengadakan kelas mengaji al-Quran serta mengaji agama di beberapa kawasan secara berkala.

“Sibuk, memang sibuk. Tetapi, ini amal jariah untuk bekalan kita bertemu Allah nanti,” jelas beliau.

Selain itu, katanya lagi, lebih 250 pelatih daripada pelbagai institusi kulinari pernah mendapat latihan di Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak serta berjaya kini.

“Bagi yang kurang berjaya dalam bidang akademik, ini macam projek ‘apprentice’ kepada mereka mencuba dalam bidang peniagaan.

“Hasil didikan kita di sini, terima mereka yang ada asas chef, ada yang telahpun bekerja di luar negara dengan gaji yang lumayan, salah satu di
Ireland,” tambah Faizah.

Tambah beliau, Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak pernah menjadi panel kepada institusi pengajian tinggi, seperti Institusi Teknologi Kolej Anjung Utara (ITKAU).

Penuntut Jurusan kulinari daripada Kolej Komuniti, Giat Mara serta mereka yang mengikuti kursus intensif di bawah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), FELDA dan sebagainya turut membuat latihan industri di sini.

Tidak cukup dengan itu, katanya, tentera yang bakal bersara turut memilih Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak sebagai tempat untuk
melengkapkan kursus peralihan, melalui Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (PERHEBAT).

“Mereka yang berkursus di sini akan diberi elaun RM500, tempat tinggal, pakaian seragam, makan dan minum serta kebajikan berwajib,” jelas
beliau.

Faizah berkata, kunjungan pelancong baik warganegara atau asing yang tidak putus-putus mungkin salah satu sebab Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak menjadi pilihan kepada mereka yang mahu mengembangkan bakat dalam bidang perniagaan dan kulinari.

CITA-CITA
Faizah berkata, beliau bercita-cita meneroka industri pelancongan makanan yang kian disebut-sebut oleh Kerajaan Negeri hari ini, berasaskan
pengalaman berniaga Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak.

“Saya namakan restoran ini sebagai Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak kerana memang saya nak jadikan Pulau Mutiara (Pulau Pinang) ini sebagai ‘syurga makanan laut’.

“Kalau boleh, saya nak jadikan tempat ini sebagai ‘syurga makanan laut’, biar pelancong nak ke Pulau Pinang bertandang ke sini, ataupun mereka nak ke Restoran D’Seafood Paradise Teluk Tempoyak kerana mereka tahu Pulau Pinang adalah destinasi pelancongan makanan laut pilihan di rantau ini,” serunya.

Tambah Faizah, pihaknya turut berhasrat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri atau mana-mana pengusaha baru untuk memulakan perniagaan seumpama ini.

“Ada orang tanya, tak risaukah apabila resepi di sini habis dipelajari orang lain, selalu saya kata, rezeki telah Allah tentukan, ilmu pun asalnya hak Allah.

“Semakin kita tidak kedekut untuk berkongsi kejayaan, semakin berkat kejayaan kita,” katanya sambil tersenyum.