Manfaat teknologi canggih AktifPenang semarak gaya hidup sihat

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PADANG LALANG – Menerusi aplikasi atas talian AktifPenang, acara larian Penang Virtual Run sejauh 10 kilometer (km) di Kompleks Sukan MPSP Jalan Betik di sini berjaya menerima penyertaan kira-kira 150 peserta dari komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berharap, kegunaan teknologi canggih menerusi telefon pintar sebagaimana diamalkan di Taiwan itu akan turut menyemarakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat di Pulau Pinang.

“Pelari boleh membuat larian secara sendirian pada tarikh yang ditetapkan dengan menggunakan aplikasi AktifPenang.

“Walaupun kita telah menyediakan aplikasi ini, namun ini tidak bermakna pengguna tidak perlu berlari… kesihatan adalah sesuatu yang perlu dijaga melalui senaman,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang sebelum merasmikan acara larian tersebut baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Ahli Majlis MPSP, Goh Choon Aik.

Menurut Chee Keong, idea untuk menjadikan Penang Virtual Run satu realiti tercetus ketika membuat lawatan ke Taiwan.

“Ketika berkunjung ke pejabat Datuk Bandar Taipei, mereka telah menunjukkan bagaimana bandar Taiwan menggunakan teknologi untuk membantu dalam pentadbiran bandar tersebut.

“Kita boleh menggunakan teknologi untuk pentadbiran yang cekap dan baik bagi sesebuah kerajaan dan saya berharap agar pihak kerajaan tempatan juga dapat melakukan perkara yang sama melalui aplikasi AktifPenang ini,” jelasnya.

Bagi mengumpul ketiga-tiga pingat yang disediakan, difahamkan, pelari perlu menamatkan larian pada tarikh yang ditetapkan menggunakan aplikasi AktifPenang, kongsikan larian di Facebook dengan hashtag, #aktifpenang dan email kepada pihak penganjur.

Pendaftaran boleh dibuat di https://event.howei.com/event/ aktifpenang-virtual-run.

}