Masa yang tepat LTAPP diperbesarkan – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI& NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) perlu dinaiktaraf serta diperbesarkan dan kini adalah masa yang tepat, ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, terdapat peningkatan penggunaan LTAPP yang mana pergerakan pelancong berkembang daripada 5.5 juta pada tahun 2013 kepada 6 juta (2014).

“Penumpang telah meningkat sebanyak 10 peratus.

“Peningkatan ini menunjukkan sesuatu yang positif, walaupun tragedi melanda penerbangan negara tahun lalu.

“Saya yakin sudah tiba masanya ia dinaiktaraf dan diperbesarkan,” ujarnya pada satu sidang media di sini barubaru ini.

Memetik indikator ketibaan pelancong, LTAPP mencatatkan peningkatan 10 peratus iaitu 5,485,756 juta pelancong pada tahun 2013 kepada 6,034,593 (2014).

Justeru, Guan Eng pada satu sidang media berasingan menyatakan bahawa adalah tidak mustahil LTAPP mampu mencecah kapasiti 6.5 juta penumpang pada 2015.

Ketika diminta mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim bakal menfokuskan kepada kargo dan pembinaan, beliau berkata ia tidak akan menjejaskan lapangan terbang di Pulau Pinang, yang mana menfokuskan kepada ‘penumpang’.

Guan Eng menegaskan bahawa terdapat pembesaran membabitkan syarikat-syarikat logistik di negeri ini.

“Contohnya, Nippon Express (M) Sdn. Bhd, FedEx dan TNT Express Worldwide (M) Sdn. Bhd..

“Pembesaran ini menunjukkan bahawa pergerakan kargo masih merupakan sebahagian besar dari operasi lapangan terbang di sini.

“Pulau Pinang merupakan lokasi popular dan pilihan, justeru, lapangan terbangnya perlu diperbesarkan,” katanya sambil menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telahpun membuat perancangan untuk menyediakan tanah bagi projek naiktaraf dan pembesaran LTAPP termasuk kerja-kerja menambak laut ratusan ekar di bahagian selatan LTAPP.}