MoU AI4S buka peluang pelajar kembang kepakaran kecerdasan buatan

img 7169 Jagdeep (two from left) in AI4S launching ceremony.

BATU MAUNG – Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, Jagdeep Singh Deo menyambut baik Memorandum Persefaham (MoU) antara Tech Dome Penang (TDC) dengan organisasi Kapten 88 dalam memperkasakan bidang kecerdasan buatan (AI) pada peringkat sekolah.

MoU Artificial Intelligent for School Programme (AI4S) tersebut ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif TDC, Khoo Boon Wooi dan Pengerusi Kapten 88, Dato’ Seri Dr. Ooi Eng Hock.

“Pada 23 Mei 2023, Ketua Menteri telah melancarkan Perpustakaan Digital Sekolah 5G, inisiatif yang telah mencatatkan respons  luar biasa daripada 88 buah sekolah di negeri kita.

“Hari ini, kita membawa ke langkah seterusnya, pelancarann AI4S yang merupakan lanjutan daripada usaha kita untuk memasukkan elemen STEM (Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan) yang lebih mendalam khususnya melalui AI.

“Program AI ini akan memberi peluang kepada pelajar kita untuk tidak hanya menggunkan teknologi tetapi juga memahami dan mengembangkan aplikasi AI,” ujarnya ketika melancarkan Program AI4S di SMK Batu Maung di sini pagi tadi.

Difahamkan MoU itu turut melibatkan rakan strategik lain termasuk Intel Malaysia, Bank OCBC, Penang STEM, Tech Dome, Microsoft, SNS Network dan YTL Communications.

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, AI For Youth dari Intel Malaysia juga akan memberikan peluang latihan kepada pelajar untuk mencipta penyelesaian berkesan menggunakan teknologi AI.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Said Hussain ketika berucap merakamkan penghargaan kepada Kapten 88 dan rakan-rakan strategik yang terlibat.

“Generasi muda kini adalah generasi yang akrab dengan teknologi dan internet sekali gus memberi peluang kepada mereka terlibat dalam isu-isu sosial, politik dan lingkungan dengan cara yang belum pernah terjadi.

“Melalui program AI4S, kami yakin bahawa murid-murid akan dapat mendalami dan penggunaan teknologi dan AI dengan sewajarnya,” jelas Abdul Said lagi.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD