MBPP ambil tindakan terhadap ‘iklan’ tanpa lesen

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Unit Bahagian Iklan dan Penguatkuasa bertindak ‘menurunkan’ lebih 450,000 iklan yang digantung tanpa lesen sepanjang tahun lalu (2015).

Ahli Majlisnya, Ong Ah Teong berkata, jumlah tersebut meliputi pelbagai jenis iklan haram seperti sepanduk berjumlah 113,218 keping, banting (120,648), poster ‘ah long’ (112,320) dan poster biasa (107,214).

“Jumlah tersebut tidak termasuk PTK (Pemberitahuan Tentang Kesalahan) yang dicatatkan sebanyak 547 kes sepanjang tahun lalu. Setiap satu PTK yang dikeluarkan dikenakan kompaun sebanyak RM250 iaitu membabitkan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM136,750.

“Pada tahun ini, iaitu dari 1 Januari hingga 12 Januari lalu, sebanyak 92 kompaun PTK telah dikeluarkan dengan jumlah melebihi RM23,000,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang, Goh Choon Keong dan Teoh Koon Gee.

Dalam perkembangan sama, sebanyak enam poster haram turut ‘diturunkan’ Majlis di sekitar Daerah Timur Laut (DTL) membabitkan kesalahan iklan tidak berdaftar iaitu menggunakan permit yang dipalsukan.

“Yang terbaru, kita (MBPP) berjaya menurunkan iklan menggunakan permit palsu yang mana ia (permit palsu) dicetak bersama-sama iaitu ‘di atas’ sepanduk yang digantung.

“Sebagai makluman, Majlis hanya mengeluar dan menggunakan permit jenis berpelekat dan bukannya dicetak bersama sepanduk atau banting berkaitan.

“Untuk kesalahan ini, MBPP akan mengeluarkan kompaun bernilai RM250 untuk setiap satu sepanduk, surat tunjuk sebab dan bekukan lesen iklan syarikat berkaitan selama enam bulan,” jelas beliau