MPPP tafakur ingati tragedi MH17

MEMPERINGATI… Ahli-ahli dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang bersidang pada Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 7 Tahun 2014 bertafakur selama satu minit sebelum berlangsungnya mesyuarat bagi memperingati dan memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa tragedi nahas pesawat penerbangan MH17 di ruang udara Ukraine baru-baru ini.

Semua Ahli Majlis, Ketua Jabatan dan hadiran yang hadir turut serta pada inisiatif khas tersebut sebagai tanda simpati kepada mangsa, keluarga serta rakan-rakan mangsa.

Turut disedekahkan al-Fatihah buat mangsa yang beragama Islam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Datuk Ar. Patahiyah Ismail yang melahirkan perasaan simpati dan sedih berkata, seluruh negara turut merasakan kehilangan dan kesedihan nahas pesawat tersebut tambahan pula ia berlaku menjelang Aidilfitri.