KN komited bela nasib nelayan

SEBAHAGIAN nelayan pantai menunggu giliran menerima pukat masing-masing sejurus selepas majlis ringkas penyerahan sumbangan pukat di sini baru-baru ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

SUNGAI PINANG – Seramai kira-kira 150 nelayan pantai dari Unit Nelayan Pengkalan Sungai Pinang dan Unit Nelayan Pengkalan Jelutong menerima sumbangan pukat daripada Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Penyerahan sumbangan berkenaan disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Menurut Afif, sumbangan tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Negeri menunaikan salah satu manifesto Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu melalui sumbangan pukat kepada 2,981 nelayan seluruh Pulau Pinang.

“Pada PRU-13 lalu, kita (Kerajaan Negeri) berjanji untuk memberi sumbangan pukat dua kali setahun kepada nelayan-nelayan pantai seluruh Pulau Pinang.

“Tahun ini merupakan tahun kedua dan kita berharap agar tahun-tahun mendatang, sumbangan ini dapat diteruskan lagi bagi membantu para nelayan kita mengurangkan bebanan pembelian pukat,” katanya ketika berucap di dalam majlis ringkas penyerahan sumbangan pukat di sini baru-baru ini.

Menurut Afif, tahun lalu (2013), Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.6 juta untuk bantuan pukat dan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua nelayan pantai di Pulau Pinang.

“Sumbangan ini juga adalah sebagai penghargaan kepada nelayan pantai di negeri ini yang merisikokan nyawa mengharungi laut semata-mata untuk ‘menaikkan’ ikan ke darat saban hari bagi memenuhi kehendak pasaran dan kelangsungan hidup di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Selain sumbangan pukat dua kali setahun, Afif menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut prihatin dengan nasib nelayan dan kini giat berusaha untuk menjayakan Tabung Usahawan Tani, iaitu satu skim pinjaman tanpa bunga dengan jumlah pinjaman sehingga RM5,000.

Malah, jelasnya, Kerajaan Negeri juga mencari alternatif bagi menggalakkan generasi muda berkecimpung dalam sektor perikanan di negeri ini.

“Kita komited membela nasib  nelayan dan sedayanya mencari pendekatan komprehensif dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan nelayan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata nelayan yang hadir ketika ditemui memberi reaksi positif dan terharu dengan ingatan Kerajaan Negeri.

Bagi Yaacob Aris, 62, dari Unit Nelayan Pengkalan Jelutong, beliau berasa gembira dan bersyukur kerana segala jasanya selama lebih 30 tahun sebagai nelayan, kini dihargai.

“Alhamdulillah, ini pertama kali saya terima pukat dan bantuan ini sudah cukup memadai memandangkan harga pukat pun agak mahal, dalam RM80 ke RM200 serta ia mudah rosak dan koyak.

“Cuma saya berharap, bolehlah sekiranya Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk menyediakan peralatan lengkap tangkapan dan bukan pukat semata-mata memandangkan kami cuma nelayan pinggir pantai, hasil tangkapan pun tak banyak seperti nelayan laut dalam,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata terbabit.

Reaksi sama turut diluahkan Yeoh Lye Hin, 63, dan isterinya, Teoh Pheik Choo, 57, yang juga nelayan dari Unit Nelayan Pengkalan Jelutong.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat melihat perkara-perkara lain selain sumbangan pukat contohnya bantuan enjin bot dan penyediaan satu penempatan jeti tetap yang baru bagi kami.

“Sebagai nelayan, kami ingin terus turun ke laut untuk mencari rezeki,” kata Lye Hin yang sudah 50 tahun bergelar nelayan pantai.

Walau bagaimanapun, beliau faham Kerajaan Negeri sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi membela nasib nelayan di negeri ini.