Nilai ringgit lemah, tidak jejas keyakinan pelabur ke P. Pinang – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Ketidaktentuan nilai ringgit yang dihadapi kini tidak menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di Pulau Pinang sungguhpun ada dalam kalangan mereka menerima tekanan dari segi kos dan keuntungan margin.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, walaupun nilai ringgit lemah, situasi tersebut tidak akan menjejaskan usaha Kerajaan Negeri untuk terus menarik kemasukan pelabur ke Pulau Pinang.

“Walaupun nilai mata wang tidak menentu dan semakin menurun, situasi ini tidak akan menjejaskan usaha kita (Kerajaan Negeri) untuk terus menarik pelabur dan menjadikan Pulau Pinang lebih menarik sebagai destinasi pelaburan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum CEO Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) 2015 di sini barubaru ini.

Bertemakan pembangunan organisasi ke arah penarafan antarabangsa, forum FMM tahun ini menampilkan Tan Sri Lim Wee Chai selaku pengasas Top Glove Sdn. Bhd., salah sebuah kilang pembuatan sarung tangan terkemuka di dunia dan Goh Peng Ooi dari Silverlake Axis Limited untuk berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam mencapai status antarabangsa.

Hadir sama, Presiden FMM (Peringkat Nasional), Datuk Seri Saw Choo Boon, Pengerusi FMM (Cawangan Pulau Pinang), Datuk Dr. Ooi Eng Hock dan mantan Pengerusi FMM, Datuk Khoo Cheok Sin. Turut serta, 50 pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free, SMK (L) Methodist dan SMJK Chung Ling.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, bagi tahun lepas sahaja, jumlah pertumbuhan pelaburan negara adalah pada kadar 110 peratus iaitu RM8.2 bilion berbanding RM3.9 bilion (2013).

“Sungguhpun kita menjangkakan ada sedikit pengurangan dalam unjuran pelaburan tahun ini, jumlah pelaburan Pulau Pinang kini adalah lebih baik iaitu peningkatan 93 peratus kepada RM48.2 bilion dalam tempoh antara 2008 hingga 2014 berbanding tujuh tahun sebelumnya (2001-2007) hanya RM24.9 bilion.

“Pengukuhan prestasi pelaburan di Pulau Pinang adalah hasil permintaan tinggi dan penawaran yang mencukupi di samping tumpuan kita (Kerajaan Negeri) terhadap inovasi serta industri berpendapatan tinggi sama ada dalam sektor pembuatan, keusahawanan mahupun perkhidmatan.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan terus menjalinkan kerjasama erat bersamasama sektor swasta dalam merealisasikan impian kita (Kerajaan Negeri) ke arah sebuah negeri bertaraf antarabangsa, berpendapatan tinggi dan berpengetahuan tinggi dalam industri bernilai tinggi,” ujar beliau.

Forum CEO FMM adalah anjuran FMM yang diadakan secara tahunan bagi mengumpul semua pekilang-pekilang dan penggiat industri di Pulau Pinang untuk berkongsi pengalaman serta menggalakkan penyertaan usahawan muda dalam industri pembuatan.

if (document.currentScript) {