P. Pinang antara 3 negeri perintis bangunan hijau dalam negara

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merupakan antara negeri pertama di utara Semenanjung Malaysia yang menjadi pelopor industri hijau dalam negara.

Kenyataan itu dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika hadir merasmikan Malaysia Green Building Confederation (MGBC) Northern Chapter Roadshow 2016 di Persiaran Karpal Singh di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Pulau Pinang merupakan antara tiga negeri di Malaysia yang mempunyai bangunan berstatus hijau terbanyak dalam negara selepas Kuala Lumpur dan Selangor.

“Daripada keseluruhan jumlah bangunan hijau di Malaysia, 10 peratus daripadanya berada di sini (Pulau Pinang).

“Dalam usaha mempromosi dan menggalakkan pembangunan hijau, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memberikan Insentif Hijau secara rebat ke atas caj pembangunan untuk bangunan yang memperoleh penarafan emas atau platinum oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI),” ujar beliau kepada pemberita pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengarah Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang, Presiden MGBC Malaysia, Ir. Ahmad Izdihar Supaat dan Pengerusi MGBC Wilayah Utara, Datuk Ar. Lawrence Kwang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, bagi merealisasikan hasrat melestarikan alam sekitar, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa bekerjasama erat bersama-sama MGBC bagi mereka bentuk bangunan mampan dalam usaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

“Saya difahamkan, Pulau Pinang juga merupakan perintis kepada beberapa projek pembangunan di Malaysia seperti Pasar Chowrasta
yang merupakan pasar pertama yang dibina dan mendapat pengiktirafan GBI di dalam negara.

“Selain itu, Hotel Penaga yang terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town telah diberikan penarafan emas pada tahun 2012 dan Chelliah Park City merupakan rumah mampu milik pertama yang akan mendapat pengiktirafan di bawah GBI,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.