P. Pinang sasar 20,000 lampu jalan cekap tenaga menjelang 2020

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SYARAFANA ALI ASGAR

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menukar 20,000 unit lampu jalan konvensional kepada jenis diod pemancar cahaya (LED) di seluruh Pulau Pinang menjelang 2020.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif tersebut bakal membabitkan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bersama-sama syarikat yang bakal dilantik melalui satu perjanjian.

“Syarikat yang bakal dilantik akan bertanggungjawab untuk menggantikan lampu sedia ada kepada jenis LED.

“Projek ini bukan sahaja akan meningkatkan pencahayaan, tetapi kos tenaga yang digunakan dapat dikurangkan kepada hampir 50 peratus dan usaha ini akan mengurangkan pelepasan kesan karbon.

“Kita (PBT) akan memulakan pelaksanan ini secara berperingkat bermula tahun hadapan (2017). “Oleh itu, pada tahun 2020, Kerajaan Negeri akan mempunyai sejumlah 20,000 unit lampu LED di seluruh negeri,” ujarnya selepas sidang media pengumuman Program Earth Hour 2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir Ang Aing Thye, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, K. Vishanthini dan Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr. R. Sundari. Menurut Kon Yeow, selaras dengan pendirian Kerajaan Negeri untuk mengatasi perubahan iklim, beberapa dasar inisiatif hijau turut akan dilaksanakan menjelang 2020.

“Selain menukar lampu jalan sedia ada kepada jenis LED, Kerajaan Negeri juga meletakkan harapan agar semua pejabat dan agensi di bawah kita (Kerajaan Negeri) akan memperoleh status Pejabat Hijau pada tahun 2020.

“Malah, kadar kitar semula Pulau Pinang disasarkan mencecah 50 peratus berbanding kini, 36 peratus,” ujarnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam pada itu, WWF-Malaysia kini membuka pendaftaran untuk peserta Program Earth Hour Night Walk 2017 yang akan berlangsung pada 25 Mac 2017.

Sesiapa yang berminat boleh mendaftar menerusi laman sesawang pandashop.my/ earthhour2017 dengan yuran pendaftaran sebanyak RM65.

Peserta akan menerima sehelai T-shirt organik dan medal yang diperbuat khas daripada sisa kayu yang dikitar semula.