Padang Esplanade dijangka buka semula Oktober

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kerja-kerja naik taraf padang Esplanade yang mengambil masa enam bulan kini memasuki fasa akhir, dan dijangka dibuka semula kepada orang ramai Oktober ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, projek bernilai RM2 juta hasil pembiayaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu adalah merangkumi kerja-kerja pemasangan sub-oil drainage, penggantian top-soil, pembinaan perimeter saliran tambahan, pembesaran parit sedia ada dan penanaman semula rumput.

“Kini, kerja-kerja menaik taraf memasuki fasa akhir dan dijangka dapat dibuka semula kepada orang ramai awal Oktober ini.

“Selepas kerja-kerja (menaik taraf) ini siap kelak, Majlis akan mengeluarkan garis panduan baharu bagi penggunaan padang demi melindungi sistem perparitan baharu daripada rosak,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota ketika melakukan lawatan tapak di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, Ar. Yew Tung Seang (Setiausaha Bandaraya MBPP) dan S. Bharati (Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri, CMI).

Tambah Kon Yeow, setelah kerja-kerja menaik taraf padang tersebut siap, fokus akan diberikan kepada kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf tembok laut sepanjang 600 meter.

“Kerja-kerja menaik taraf tembok laut ini adalah meliputi kawasan Royal Malaysian Navy di Jalan Tun Syed Sheikh Barakbah hingga ke Astaka Medan Renong. “Anggaran kos adalah kira-kira RM800,000.

Namun, setelah kerja-kerja di tapak dimulakan, baharulah kita mengetahui kos sampingan sebenar berdasarkan keadaan terkini tembok tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan, pada September 2016, George Town Special Area Plan (GTSAP) telah digazetkan bagi melindungi, mengawal serta meningkatkan kegunaan ruang awam dan bangunan terpilih di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuk Fort Cornwallis.

“Kerja-kerja menaik taraf kawasan padang, tembok laut, ruang pejalan kaki awam dan landskap adalah sebahagian yang terkandung di dalam GTSAP.

“Kos keseluruhan untuk menaik taraf semua kawasan terlibat adalah kira-kira RM15 juta hingga RM20 juta, yang mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan.

“Kos ini akan dibiayai oleh George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) yang terdiri daripada tiga pihak iaitu CMI, Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan Aga Khan Trust for Culture,” jelas beliau.