Tuisyen percuma bantu tingkatkan prestasi subjek kritikal

TELUK BAHANG – Sebagai inisiatif bagi membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam subjek kritikal seperti Sains dan Matematik, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Muda (PEKA) telah mewujudkan pusat tuisyen percuma dekat Dewan Taman Manggis Indah, Balik Pulau di sini.

Ahli Majlis bagi MBPP, Nur Zarina Zakaria yang bertanggungjawab menggembleng usaha tersebut sejak tiga tahun lalu teruja apabila usahanya direalisasikan tahun ini.

“Buat masa ini, kita menerima kira-kira 48 murid tahun empat, lima dan enam, dan jumlah ini sangat menggalakkan selain menerima respons yang baik daripada ibu bapa.

“Hinggakan ada yang meminta kami untuk menambah subjek lain dan diadakan juga pada cuti penggal persekolahan bagi mengisi masa cuti dengan lebih berfaedah,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri dan Perasmian Pusat Tuisyen Percuma Taman Manggis di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Jabatan Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Amir Ali dan wakil PEKA, Adam Adli.

Tambah Zarina, pencapaian pelajar yang mengikuti tuisyen percuma tersebut turut dipantau dalam memastikan peningkatan prestasi tercapai.

“Selain akademik, kita juga menerima permintaan untuk diadakan kelas-kelas tarian kanak-kanak serta kelas masakan bagi membantu golongan ibu khususnya suri rumah sepenuh masa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Adam ketika berucap memaklumkan bahawa sungguhpun pusat tuisyen tersebut adalah percuma, namun pihaknya menyediakan tenaga pengajar dan modul terbaik dalam menjamin kualiti.

“Pembelajaran menggunakan modul pendekatan baharu juga mampu menjadikan pelajar bersosial secara sihat sambil mendapatkan ilmu,” katanya.