Parkir tambahan lokasi riadah Teluk Bahang, jangka siap sebelum Krismas

GEORGE TOWN – Sebagai penyelesaian terhadap masalah kekurangan parkir membabitkan lokasi-lokasi riadah berhampiran Empangan Teluk Bahang, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menerusi cadangan daripada Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyediakan ruang parkir tambahan untuk pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, hasil perbincangan, pihaknya telah mengenalpasti kawasan lapang yang terletak berhadapan dengan Taman Rimba Teluk Bahang, bersebelahan stesen pam empangan untuk dibangunkan sebagai ruang parkir.

“Ia merangkumi kawasan seluas 4,500 meter persegi serta boleh menempatkan 30 buah kereta dan 12 bas dalam satu-satu masa dengan anggaran kos berjumlah RM400,000.

“Pihak PBAPP akan memanggil tender terbuka dan menjangkakan projek bermula pada Oktober ini dan siap menjelang sambutan Hari Natal (Disember 2016),” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Pengerusi PBAPP dan Setiausaha Politiknya, Wong Hon Wai merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam.

Mengulas lanjut, Jaseni memaklumkan bahawa tiada sebarang penebusan guna hutan yang bakal berlaku kerana lokasi dicadang merupakan kawasan lapang yang landai.

Jelasnya, atas faktor keselamatan, tempoh masa operasi kawasan parkir dijangka bermula pada pukul 7 pagi sehingga 7 malam.

“Pihak kami (PBAPP) akan menempatkan pengawal keselamatan di kawasan tersebut dan oleh kerana kawasan tersebut merupakan kawasan milikan PBAPP, waktu operasi parkir turut dikawal atas faktor-faktor keselamatan,” ujar beliau.