Sistem Perkongsian Basikal, pengangkutan alternatif umum

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

KEBUN BUNGA – Mulai tahun depan, orang ramai boleh cuba menggunakan Sistem Perkongsian Basikal sebagai alternatif pengangkutan di 25 lokasi terpilih sekitar George Town hingga Pusat Membelibelah Queensbay.

Pengarah Fast Rent Bike (Penang) Sdn. Bhd. (Fast Bike), Ken Yeoh berkata, orang ramai boleh menikmati kemudahan tersebut dengan kadar RM3 untuk pas harian atau bayaran mengikut jam. “Sistem deposit atau pengesahan kod digunakan bagi memastikan basikal dipulangkan semula.

“Antara lokasi dicadangkan pembinaannya ialah terminal feri, Fort Cornwallis, Padang Kota Lama, Lebuh Armenian, Jalan Masjid Kapitan Keling dan lain-lain,” katanya pada Majlis Perasmian Sistem Perkongsian Basikal di Taman Bandaraya di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng. Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Joseph Ng Soon Siang, Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MBPP, Ar. Yew Tung Seang dan Pengerusi Kelab Berbasikal G, Dr. Lim Seh Guan.

Guan Eng dalam pada itu menyatakan bahawa sistem berkaitan mampu menjadi salah satu pengangkutan alternatif kepada masyarakat umum di negeri ini.

“Pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai bandaraya berbasikal,’’ ujarnya.

Guan Eng sebelum itu melepaskan lebih 3,700 peserta kayuhan Campaign For A Lane Ke-8 (CFAL) sebagai memberi kesedaran kepada pengguna kenderaan bermotor mengenai keperluan serta kepentingan perkongsian jalan raya bersama-sama penunggang basikal.

Fast Bike merupakan syarikat pengendali yang bekerjasama dengan MBPP bagi pelaksanaan projek Sistem Perkongsian Basikal di negeri ini.