Penang Digital Library, kemudahan untuk rakyat terokai dunia digital

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING & ARKIB PDL

TATKALA menyebut perkataan perpustakaan, pasti ramai membayangkan deretan buku-buku yang tersusun rapi mengikut kategori dan abjad. Siapa sangka, apabila melangkah masuk ke Perpustakaan Digital Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Penang Digital Library (PDL) tidak ada satu naskah buku pun boleh ditemui.

Menerapkan teknologi informasi sebagai sarana untuk menyimpan dan menyebarluaskan maklumat dalam format digital, PDL semestinya memberikan suatu pengalaman membaca yang berbeza.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Buletin Mutiara bersama-sama Pustakawan PDL, ANAS MORAD dekat sini baru-baru ini.

LOKASI & WAKTU OPERASI

Terletak dalam perkarangan sekolah aliran berbahasa Inggeris tertua di Asia Tenggara, Penang Free School, bangunan PDL dua tingkat ini masih mengekalkan ciri-ciri binaan lama.

“Dahulunya, bangunan PDL ini merupakan bangunan yang dikhaskan untuk kediaman pengetua sekolah Penang Free School yang kemudiannya diambil alih oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) sebagai rumah banglo inap Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Pulau Pinang selepas ia terbiar kosong sejak tahun 2006.

“Mungkin ramai yang masih tidak tahu bahawa bangunan ini terletak di dalam kawasan sekolah (Penang Free School) dan ia telah ditransformasikan menjadi PDL selepas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mendapat cetusan idea mewujudkan perpustakaan digital umum pertama di Pulau Pinang,” ujar Anas memulakan bicara.

Dirasmikan pada 8 Oktober 2016 oleh Ketua Menteri, PDL beroperasi 365 hari setahun, meskipun hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, bermula pukul 10 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam.

CETUSAN IDEA KETUA MENTERI PULAU PINANG

Ujar Anas, PDL direalisasikan hasil cetusan idea Ketua Menteri selepas beliau melawat ke Keysight Technologies (M) Sdn. Bhd. (Keysight) iaitu syarikat elektronik terkemuka di dunia di Bayan Lepas pada November 2015.

“Di Keysight, terdapat sebuah perpustakaan digital untuk kegunaan pekerjanya dan konsep itu diterapkan untuk membangunkan sebuah perpustakaan digital bagi kegunaan umum di Pulau Pinang.

“Malah, di sini (PDL) kita turut menggunakan kepakaran daripada Keysight terutamanya dari segi teknikal, perkakasan kompenan fizikal (hardware) dan perisian (software) termasuklah susun atur isi kandungan PDL,” ceritanya yang tekad mahu menjadikan perkhidmatan di PDL suatu kelainan berbanding perpustakaan konvensional yang terdapat di Pulau Pinang. PDL adalah hasil inisiatif bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang,

Keysight dan Eastern & Oriental Berhad (E&O) dengan disokong oleh TIME dot com melalui perkongsian PPP atau perkongsian awam-swasta secara tanggungjawab sosial korporat.

Kini, PDL terletak di bawah pentadbiran Perbadanan Ketua Menteri (CMI). Projek yang bernilai RM2.5 juta ini adalah bertujuan untuk mentransformasikan mekanisme perpustakaan tradisional menerusi dunia digital.

“Objektifnya adalah sebagai pemangkin utama terhadap pembangunan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di Pulau Pinang, selain menjadi penghubung kepada masyarakat dengan dunia digital masa kini dan sebagai ruang perkembangan kreativiti dan inovasi melalui alat mudah alih dan akses WiFi sedia ada.

“Selain STEM, pengguna juga boleh mendapat maklumat atau bahan bacaan dalam bahasa Inggeris serta dalam pelbagai lapangan termasuk keusahawanan, STEM dan sebagainya,” ujarnya.

KEMUDAHAN & KEISTIMEWAAN Selain menyediakan akses jalur lebar berkelajuan maksimum sehingga 100 megabait sesaat (Mbps) secara percuma untuk pelawat, PDL turut menyediakan 10 unit iPad untuk memberi kemudahan mengakses e-magazine (majalah elektronik) dan e-book (buku elektronik) pilihan.

Pelawat turut digalakkan untuk menggunakan telefon pintar atau peralatan mudah alih sendiri memandangkan pihak pengurusan PDL turut menyediakan pangkal kuasa (power port) dan ruang santai yang selesa dan kondusif.

Menyediakan 100 peratus bahan bacaan digital dengan lebih 3,000 judul e-book, e-magazine dan jurnal rujukan, PDL turut mempunyai dua buah bilik kolaborasi yang boleh memuatkan sehingga 12 orang setiap satu dan nook corner atau ruang ceruk yang selesa bagi mereka yang mahu bersendirian tanpa gangguan.

Ruang amfiteater yang moden dan futuristik boleh memuatkan sehingga 40 orang dalam satu-satu masa turut menjadi ‘port’ santai bagi mereka yang datang secara berkumpulan.

Bagi bilik kolaborasi dan amfiteater, disediakan televisyen LED 58” bagi kegunaan pembentangan ataupun perbincangan.

Kemudahan asas seperti tandas, kafe berasaskan pastri dan bakeri, Love A Loaf, pemantauan televisyen litar tertutup (CCTV) dan ruang lokar turut disediakan termasuk ruang parkir untuk kereta dan motosikal.

Kemudahan seperti ruang dan bilik bacaan turut boleh disewakan khas oleh orang awam mengikut kadar yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Istimewanya, kemudahan-kemudahan ini adalah berkonsepkan mesra keluarga, mesra orang kurang upaya (OKU) (hanya di Aras Bawah) dan mesra warga emas dengan persekitaran yang menghijau dan santai, sesuai untuk semua peringkat usia.

KEAHLIAN PDL Menurut Anas, berdasarkan rekod, sehingga 8 Januari 2017, seramai 1,650 pengguna telah berdaftar sebagai ahli.

“Buat masa ini, keahlian adalah percuma dan terbuka kepada semua yang mempunyai telefon pintar atau alat mudah alih digital.

“Walau bagaimanapun, kadar yuran keahlian yang nominal bagi bahan bacaan elektronik akan dikenakan pada masa hadapan.

“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ‘Readcasaby Penang Digital Library melalui App Store atau Play Store, ikut arahan yang ditetapkan dan anda akan menerima e-card untuk mengakses keseluruhan bahan yang terdapat dalam PDL,” ujarnya yang kagum dengan sambutan orang ramai sejak mula beroperasi.

HARAPAN Sebelum pulang, penulis berkesempatan untuk bertemu dan bertanyakan harapan pada masa hadapan dengan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. BHARATHI yang merupakan antara individu utama yang bertungkus-lumus merealisasikan penubuhan PDL.

“Penduduk Pulau Pinang khususnya perlu mengambil peluang yang ada, meneroka kemudahan yang disediakan oleh PDL dan datang sendiri untuk merasai pengalaman yang berbeza ini.

“Pastinya, bagi pihak Kerajaan Negeri, kami mahu mempromosikan Pulau Pinang sebagai tempat untuk tinggal, kerja dan bersantai dan PDL tidak mahu ketinggalan dengan menawarkan perkhidmatan berasaskan pengetahuan melalui dunia digital.

“Untuk itu, saya mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil inisiatif datang ke sini dan guna kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada umum secara percuma,” ujarnya.

TEMPAHAN KEMUDAHAN Untuk sebarang tempahan ataupun pertanyaan berhubung kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh PDL, sila hubungi: Perpustakaan Digital Pulau Pinang No. 135, Jalan Masjid Negeri, 11600 George Town, Pulau Pinang. Telp: 04 – 370 8687 (Pejabat) 04-370 8715 (Kaunter, 10 pagi – 10 malam sahaja) Emel [email protected]

Laman sesawang rasmi www.penangdigitallibrary.com. Atau tulis secara rasmi ke Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 47, Komtar, 10503 George RUANG bacaan di Aras 1. Town, Pulau Pinang