Penang Run sebagai produk pelancongan Seberang Perai

Teks & Gambar:
AHMAD ADIL MUHAMAD

NIBONG TEBAL – Seramai 1,300 perserta terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur berjaya menamatkan larian 21km Half Marathon Penang Run 2014-2015 Seberang Perai (Penang Run) yang dianjurkan secara bersama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini baru-baru ini.

Acara larian bagi peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) tersebut merupakan siri kedua daripada keseluruhan tiga siri yang dianjurkan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee hadir bagi menyempurnakan upacara pelepasan para peserta yang berlangsung seawal jam 5.30 pagi.

Lip Chee ketika merasmikan upacara itu berkata, program seumpama itu adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam mempromosikan kehidupan yang lebih sihat.

“Program ini bukan sahaja dapat mempromosikan penjagaan kesihatan dalam kalangan peserta dan rakyat Pulau Pinang, malah dapat juga mempromosikan pelancongan di negeri ini khususnya di daerah Seberang Perai,” katanya.

Turut hadir, adalah Ahli Parlimen bagi kawasan Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Tambah beliau, para peserta dapat menikmati keindahan permandangan di sepanjang laluan larian sekaligus dapat menarik lebih ramai pelancong di masa akan datang.

“Ramai lagi yang masih tidak tahu terdapat tempat-tempat yang menarik untuk dilawati di sini walaupun ada dalam kalangan peserta adalah
tinggal di negeri ini.

“Justeru, ini adalah program yang amat sesuai untuk memperkenalkan kawasan Nibong Tebal sebagai destinasi pelancongan dan makanan,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, menurut Mansor, program berkenaan amat bermakna buat beliau kerana ia selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan Pulau Pinang yang lebih Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Tahniah kepada para peserta kerana berusaha merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri, terutamanya peserta yang datang jauh dari Eropah, Australia, Jerman dan Filipina.

“Saya harap program ini dapat dianjurkan lagi di masa hadapan dan diangkat menjadi produk pelancongan untuk negeri ini,” serunya.

Setiap peserta yang berjaya menamatkan larian Penang Run diberikan pecahan medal yang perlu dikumpul pada setiap siri larian membabitkan tiga daerah di sini sebelum dapat dicantumkan menjadi satu medal utama.

Bagi peserta yang berjaya mendapatkan tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori membawa pulang piala iringan dan hadiah wang
tunai.