Penang SME Centre mahu cipta produk ‘Buatan Pulau Pinang’

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Pembukaan operasi Penang SME Centre bernilai RM40 juta dekat Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas diharap mampu menarik lebih banyak penggerak industri kecil dan sederhana (IKS) ke sini kelak.

Pengerusi Majlis Pengurusan SME Centre, Kelvin Kiew berkata, Eclimo Sdn Bhd. (Eclimo) selaku syarikat pengeluar motosikal skuter berkuasa elektrik pertama ‘Buatan Malaysia’ merupakan antara IKS tempatan yang membuka makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kilang pemasangannya di sini.

“Kami (Penang SME Centre) mahu membantu IKS tempatan membangunkan potensi produk mereka sehingga menjadi pembekal peringkat dunia, yang bukan sahaja memiliki industri sendiri, bahkan jenama sendiri (bagi produk).

“Selain mewujudkan produk dengan label ‘Buatan Malaysia’, Penang SME Centre ini diharap mampu melonjak dan seterusnya melahirkan produk ‘Buatan Pulau Pinang’ bagi rantaian bekalan (produktiviti) Pulau Pinang,” jelasnya pada Majlis Penerangan Mengenai Penang SME Centre di sini baru-baru ini.

Datuk Lee Kah Choon selaku Penasihat Khas Kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng turut berucap pada majlis promosi berkaitan.

Hadir sama, Pengurus Besar investPenang (iP), Loo Lee Lian dan kira-kira 30 tetamu daripada kalangan pengusaha IKS tempatan.

Difahamkan, pemajuan projek Penang SME Centre bernilai RM40 juta tersebut merupakan salah satu manifesto Pakatan Rakyat semasa musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), pada tiga tahun lepas.

Guan Eng dalam ucapannya semasa itu berkata, Kerajaan Negeri akan menawarkan lot-lot kedai di bangunan tersebut dengan harga yang murah, demi membantu IKS mengembangkan potensi produktiviti masing-masing.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), iP dan Majlis Pengurusan
Penang SME Centre akan diberi tanggungjawab secara bersepadu untuk merealisasikan wawasan ekonomi masa depan negeri itu.

Manakala, Eclimo pula mensasarkan 500 unit motosikal mampu dipasarkan pada tahun ini, dan kini model sulung syarikat IKS tempatan tersebut mula digunakan sebagai kenderaan alternatif bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan restoran makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC).

Segera hubungi wakil iP di talian 04 – 646 8833 atau 04 – 640 9988 untuk mendapatkan info lanjut mengenai kadar sewa termurah di Penang SME Centre.