Jom meriahkan Sambutan 50 Tahun Muzium Negeri!

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

PADANG KOTA – Orang ramai dipelawa untuk hadir memeriahkan Sambutan 50 Tahun Muzium Negeri Pulau Pinang di Nombor 57, Jalan Macalister, George Town.

Menurut Kurator Muzium, Haryany Mohamad, pihak muzium bakal menyediakan pelbagai acara menarik bersempena sambutan tersebut pada tempoh 27 April hingga 3 Mei ini.

“Bagi menjayakan sambutan penuh bersejarah ini, sebanyak 12 muzium lain seperti Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan muzium-muzium negeri lain dari seluruh negara akan turut serta.

“Antara pameran menarik adalah simulator memandu helikopter, pameran tragedi Bukit Kepong, pameran Lagenda Bola Sepak Mokhtar Dahari (Super Mokh), demonstrasi busana tradisional, mewarna seramik, pameran keris, memanah,

Wayang Kulit Seri Asun, Night At The Museum Volume III dan lain-lain,” katanya pada sidang akhbar sempena Sambutan 50 Tahun Muzium Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merangkap Pengerusi Muzium Pulau Pinang serta Setiausaha Politiknya, Wong Hon Wai.

Guan Eng memberitahu, muzium seharusnya menjadi sebuah medium pendidikan kerana ia mampu dihubung kait
dalam merencana masa depan dan mengaitkan sejarah dengan kehidupan masa kini.

“Justeru, adalah diharapkan supaya pameran muzium diperbaharui dan tidak hanya terhad kepada pameran antik semata-mata.

“Pembaharuan muzium boleh dilakukan dengan mengadakan pameran bersifat interaktif selaras dengan kemajuan teknologi pada hari ini,” ujar beliau.