Pindaan UBBL 2012, pelan bangunan perlu ciri bangunan hijau

GEORGE TOWN – Setiap permohonan pelan bangunan yang dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu mengikuti garis panduan pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 2012.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, semua permohonan baru yang diterima mulai 1 Januari 2017 adalah tertakluk kepada pewartaan pindaan UBBL 2012 di bawah Kecekapan Tenaga (Undang-undang Kecil 38A).

“Pindaan ini merangkumi beberapa perkara, tetapi keutamaan adalah setiap permohonan pelan bangunan yang dihantar dan direka bentuk perlu mempunyai ciri-ciri bangunan hijau iaitu mampu mengurangkan kebergantungan kepada elektrik serta keuntungan haba solar.

“Bangunan-bangunan ini bukan sahaja perlu cekap tenaga, malah juga adalah asas utama pelan pembangunan negeri yang mampan bagi masa hadapan sejajar dengan visi ke arah sebuah negeri hijau,” ujarnya pada Majlis Perasmian Kepentingan OTTV (Overall Thermal Transfers Value) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail, mantan Pengarah Kawalan Bangunan MBPP yang kini merupakan Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang dan Pengerusi Malaysia Green Building Confederation (MGBC) Wilayah Utara, Datuk Ar. Lawrence Lim.

Dalam pada itu, Tung Seang memberitahu, Undang-undang Kecil 38A memfokuskan kepada bagaimana sesebuah bangunan tersebut direka bentuk agar pengalihan udara di dalam kediaman atau bangunan dapat membuatkan penghuni berasa lebih selesa.

“Peratusan besar haba yang masuk ke dalam bangunan adalah melalui bumbung ataupun dinding luar bangunan.

“Justeru, undang-undang ini memerlukan setiap permohonan pelan bangunan mempunyai ciriciri bangunan hijau iaitu dari segi reka bentuk, bahan-bahan yang digunakan dan cara yang diguna pakai bagi mengurangkan peratusan tinggi haba memasuki bahagian dalam bangunan,” jelasnya.

Sehingga 15 Disember tahun lalu, rekod Green Building Index (GBI) menunjukkan bahawa daripada 717 projek di seluruh negara yang telah berdaftar untuk penarafan bangunan hijau, 371 daripadanya telah memperoleh sijil masing-masing, projek yang diperakukan adalah dari Pulau Pinang (36) iaitu melibatkan sejumlah 177 juta kaki persegi (kp).