Projek Kita, platform komuniti PPR cadang projek manfaat bantu golongan perlu

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Pengalaman menemani suami menjalani terapi ion detoksifikasi (detox) bagi rawatan dialisis di sebuah pusat perubatan persendirian dalam tempoh hampir empat tahun menjadi ‘guru’ terbaik buat Norjan K.G. Ibrahim, 55, untuk memulakan operasi pusat terapinya sendiri bagi membantu golongan memerlukan.

Sepanjang tempoh menemani suaminya, Norjan yang merupakan Pembantu Penyelia di sebuah perubatan swasta di sini tidak pernah terfikir ia akan menjadi titik tolak buatnya untuk memulakan perkhidmatan pusat terapi sendiri dikenali Pusat Kristal Terapi Ion Detox di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini.

Menceritakan pengalamannya, Norjan memberitahu, pada peringkat awal, beliau sering menemani suaminya, Saiful Sulaiman, 43, menjalani terapi ion detox sebanyak empat kali seminggu ekoran penyakit yang dialami.

“Alhamdulillah, setelah sering kali menjalani terapi tersebut, suami menunjukkan perkembangan positif dan semakin pulih.

“Selain membantu membuang toksin di dalam badan, ia juga berfungsi untuk melancarkan peredaran darah.

Bermula dari situ, saya mendapat idea untuk membuka pusat ini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara pada Majlis Penyerahan Cek dan Perjanjian Penerimaan Dana Projek Penyertaan Rakyat – Projek Kita di sini baru-baru ini. Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng.

Turut serta, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail dan Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Pelaksanaan program Projek Kita adalah di bawah Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), MBPP dan MPSP.

Bermodalkan RM6,600 yang diterima daripada dana Projek Kita, Pusat Kristal Terapi Ion Detox bakal memulakan operasi dengan 10 unit mesin nyahtoksin di bawah seliaan empat ahli kumpulan berkaitan.

“Permulaannya, kami beroperasi dengan 10 mesin, sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan, kami akan menambah 10 unit lagi pada masa hadapan.

“Diharap dengan suntikan modal yang diterima ini, ia bukan sahaja bakal membantu golongan wanita menjana pendapatan, malah turut memajukan komuniti setempat.

“Juga turut menjadi harapan saya untuk berbakti kepada masyarakat dan rumah-rumah orang tua khususnya,” ujar ibu kepada lima cahaya mata berkenaan.

Sebanyak 17 kumpulan, masing-masing 10 kumpulan dari PPR Jalan Sungai dan PPR Ampangan, Seberang Perai Tengah (7) menerima suntikan modal keseluruhan berjumlah RM40,000 bagi memulakan Projek Kita barubaru ini.

Dalam pada itu, menurut Chong Eng, PWDC dengan kerjasama MBPP dan MPSP sering melaksanakan pelbagai pendekatan perancangan serta pelaksanaan bajet yang responsif demi keperluan komuniti melalui kaedah partisipatori rakyat dalam membuat keputusan.

“Kini, kita berjaya melaksanakan Projek Kita yang merupakan satu penyediaan platform kepada komuniti setempat terutamanya golongan wanita untuk mencadangkan projek dan program yang dapat memberi manfaat kepada komuniti mereka sendiri berdasarkan jumlah dana awam (peruntukan) yang disediakan,” jelasnya.

Di antara projek-projek yang dilaksanakan di kedua-dua PPR tersebut ialah projek makanan sejuk beku (frozen food), barangan pasar, pertanian, makanan serta minuman, produk kesihatan dan lain-lain.