Projek ‘Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal’ di Batu Ferringhi siap

Admin

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

TANJUNG BUNGA – Kerja-kerja penarafan dan baik pulih dewan kayu berusia hampir 30 tahun di Batu Ferringhi menjadi sebuah gelanggang futsal membabitkan kos kira-kira RM200,000 mengambil masa hampir dua bulan dan siap sepenuhnya pada Januari lalu.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang melaksanakan projek-projek seumpama itu meliputi lima daerah di negeri ini bawah program ‘Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal’.

“Kerajaan Negeri memang nak wujudkan ‘Satu Daerah, Satu Gelanggang Futsal’ dan ini satu lagi kejayaan projek naik taraf infrastruktur awam untuk manfaat penduduk daerah ini,” jelasnya pada Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Dewan Serba Guna Dan Gelanggang Futsal Tertutup JKKK Batu Ferringhi di sini baru-baru ini.

Serentak dengan majlis perasmian itu, Mohd. Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat turut merasmikan Kejohanan Liga Futsal Piala Timbalan Ketua Menteri I Peringkat Daerah Timur Laut, melibatkan saingan 10 pasukan.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Syerleena Abd. Rashid yang mewakili Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Ferringhi, Ahmad Jasin.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rashid memuji pentadbiran Pejabat Daerah Barat Daya kerana memberi kepercayaan serta menyerahkan tanggungjawab mengurus gelanggang futsal di sini kepada pihak JKKK setempat.

“Seperti gelanggang futsal awam (bagi Daerah Barat Daya) di Sungai Nibong itu ketika ini masih diuruskan oleh MBPP, memang ada permohonan daripada JKKK Sungai Nibong Pantai untuk menguruskan gelanggang futsal itu seperti di Batu Ferringhi ini.

“Sekarang, tempahan gelanggang di sana (Sungai Nibong) secara atas talian mesti dibuat tiga hari lebih awal, bayaran RM80 untuk dua jam (kos sewa gelanggang) pun dibuat secara online langsung kepada MBPP.

“Setakat permohonan (ambil alih pengurusan gelanggang) yang JKKK (Sungai Nibong Pantai) ini hantar telahpun ditolak, saya harap pengurusan gelanggang futsal di sana pun dipermudahkan di bawah JKKK jua, seperti di Batu Ferringhi ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Ahmad pada sidang media sama menyatakan bahawa, yuran RM80 sejam kerana gelanggang futsal di sini adalah secara tertutup serta menggunakan lebih tenaga elektrik, berbanding gelanggang futsal terbuka di Sungai Nibong.

“Hasil sewaan gelanggang futsal JKKK Batu Ferringhi ini akan dipulangkan kepada komuniti setempat dalam bentuk bantuan dan sumbangan kebajikan seperti membeli lampin pakai buang atau barang-barang keperluan dapur kepada golongan terpilih di sini juga,” respons beliau.