Projek tebatan banjir hilir Sungai Pinang bakal manfaat lebih 2,000 penduduk

GEORGE TOWN – Projek bagi kerja-kerja tebatan banjir dan menaik taraf sistem saliran di hilir Sungai Pinang bukan sahaja bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Pinang, malah juga bakal memberi manfaat sosial kepada lebih 2,000 penduduk sekitar.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, projek menelan kos RM1,845,000 tersebut akan meningkatkan kapasiti dan kadar aliran longkang sedia ada terutama ketika musim hujan atau hujan lebat.

“Saiz longkang sedia ada kini adalah berukuran 300 milimeter (mm) lebar dan akan digantikan kepada saiz lebih besar iaitu 1,200mm lebar serta disambungkan terus ke kolam takungan banjir berkeupayaan menakung 5,187 meter padu air.

“Di samping itu, ia akan disokong dengan dua unit pam berkapasiti 120 liter sesaat yang berfungsi mengepam lebihan air banjir
ke parit monsun seterusnya dialirkan ke Sungai Pinang,” ujarnya kepada pemberita di tapak projek berkaitan di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Grace Teoh; Jurutera Kanan MBPP, Ir. Cheah Chin Kooi serta wakil dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, masalah banjir kilat berdekatan Pangsapuri Serina Bay dekat sini baru-baru ini adalah
berpunca dari pertembungan hujan lebat dan air laut pasang sehingga menyebabkan paras Sungai Pinang meningkat, sekaligus
menjejaskan sistem saliran di kawasan sekitarnya.

“Jadi, projek ini akan melibatkan pembinaan kotak pembentung bersaiz 1,200mm lebar sepanjang 360 meter di hilir Sungai Pinang dan 120 meter di Solok Sungai Pinang.

“Kotak pembentung bersaiz 1,500mm lebar juga akan dibina sepanjang 135 meter di kawasan kolam takungan yang melibatkan
kawasan seluas dua ekar termasuk kemudahan asas rekreasi, pokok teduhan, laluan pejalan kaki dan kawasan lapang.

“Selain itu, empat unit pam iaitu dua unit berkeupayaan mengepam 120 liter sesaat dan dua unit pam lain 4 liter sesaat turut akan dibina di sini,” jelasnya yang turut meninjau ke tapak pembinaan dekat sini.

Difahamkan, projek dibiayai sepenuhnya oleh MBPP berkaitan mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan dan dijangka siap
pertengahan bulan Mac tahun hadapan.

Dalam pada itu, Chin Kooi memberitahu, projek tebatan banjir merupakan projek serampang dua mata.

“Projek ini bukan sahaja untuk mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar sini (Sungai Pinang), tetapi juga bakal memberi
manfaat kepada penduduk kerana ruang di sini juga akan dibangunkan dengan kemudahan rekreasi,” jelas beliau.


Kategori: Bahasa Malaysia, Semasa

Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives