Sumbangan ‘Emas’ diteruskan, meskipun tanpa pelaksanaan GST – Guan Eng

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

SEBERANG JAYA – Seramai 488 penerima Program Warga Emas terpilih diraikan dalam satu majlis penyampaian sumbangan di bawah Program Kebajikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, i-Sejahtera bagi kawasan Seberang Jaya di sini barubaru ini.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang turut ditemani Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang juga merupakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Zulkifli Long turut sama hadir.

Ketika berucap, Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan memastikan pemberian sumbangan RM100 setahun sekali dan bantuan kewangan lain kepada mereka yang layak di negeri akan diteruskan, meskipun tanpa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Hal ini dikatakan demikian kerana berlandaskan pengurusan kewangan dan urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang diamalkan oleh pentadbiran ini serta rekod kewangan yang memberangsangkan sejak 2008,’’ katanya pada majlis berkaitan.

Dalam majlis sama, Guan Eng turut menyampaikan sumbangan kewangan RM1,000 secara ‘one-off’ kepada 12 waris warga emas yang telah meninggal dunia.