Refleksiologi kaki, mahiri berasas pengalaman sendiri

PEGAWAI Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad mendapatkan perkhidmatan refleksiologi kaki.
PEGAWAI Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad mendapatkan perkhidmatan refleksiologi kaki.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

NEKAD yang disemai berdasarkan pengalaman sendiri untuk memahiri kemahiran refleksiologi kaki akhirnya membuahkan hasil bagi Khasim Abdullah, 54.

 

Bapa kepada empat cahaya mata itu tidak menafikan bahawa refleksiologi kurang dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu yang lebih maklum urut seliuh.

 

Mengulas lanjut, keinginan memahiri bidang tersebut adalah ekoran kejadian yang menimpanya ketika berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini.

 

“Masa di tentera (ATM), kaki saya tembus terpijak kayu. Selepas puas berubat, saya cuba kaedah refleksiologi. Kira-kira sebulan kemudian, saya boleh jalan.

 

“Dari situ, saya nekad untuk belajar seni urut itu (refleksiologi),” jelasnya yang ketika itu berkhidmat di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.

 

Khasim memberitahu, pembelajaran kursus oleh pakar dari Taiwan dikelola dalam Bahasa Cina.

 

TEKNIK mengurut menggunakan tenaga di hujung jari tidak menyebabkan Khasim Abdullah keletihan walaupun menerima beberapa siri lawatan pesakit.
TEKNIK mengurut menggunakan tenaga di hujung jari tidak menyebabkan Khasim Abdullah keletihan walaupun menerima beberapa siri lawatan pesakit.

“Saya merupakan satu-satunya pelajar berbangsa Melayu. Bagaimanapun, nasib baik, ada yang sanggup menjadi jurubahasa saya.

 

“Selepas setiap sesi pembelajaran, rakan-rakan di kem yang menjadi ‘bahan’ praktikal saya. Malah, keluarga sendiri pun tidak mengetahui yang saya mengikuti kelas tersebut dan apabila tamat kursus, mereka (keluarga) tak tengok pun sijil,” ujarnya sambil tersenyum.

 

Menetap di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), Khasim kini merupakan pengamal tunggal Bumiputera di kawasan tersebut.

 

Menerusi rawatan selama sejam dengan upah RM25, beliau menyatakan bahawa refleksiologi kaki mampu melancarkan peredaran darah dan melonggarkan sendi-sendi. Malah, dengan menyentuh tapak kaki seseorang, Khasim mampu mengetahui sama ada seseorang itu kencing lawas atau sebaliknya dan mengalami sembelit ataupun tidak. Namun, bukan penyakit dihidapi.

 

Berkongsi pengalamannya, Khasim yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pengimpal, penjual buah dan penjual besi buruk menyatakan bahawa keyakinan beliau untuk terus mendalami bidang tersebut adalah kerana ‘berjaya’ menyembuhkan bapa mertuanya.

 

“Bapa mertua lumpuh separuh badan kiri akibat serangan strok, selepas urut dua jam, dia boleh genggam dan angkat tangan.

 

“Dari sana, terbukti dan saya yakin yang saya boleh urut,” jelasnya sambil menasihatkan supaya elakkan diet pemakanan makanan berminyak, daging merah dan kulit ayam.

 

Di samping kemahiran mengurut, Khasim juga merupakan tukang gunting rambut. Beliau telah berkecimpung dalam bidang tersebut kira-kira 30 tahun sebelum ini.

 

“Kemahiran ini (gunting rambut), saya belajar dengan tukang gunting berketurunan Hindu di Seberang Perai.

 

“Selepas habis waktu sekolah, saya akan ke kedai gunting Uncle tuh untuk tengok dia potong rambut. Hari-hari saya ke sana, sehinggakan pada suatu hari, dia bagi pisau lama dan minta saya pergi dapatkan sebiji tembikai.

 

“Apabila dapat tembikai, saya bagi Uncle, dia sapukan sabun cukur di atas permukaan dan minta saya cukur tanpa ada sebarang luka.

 

“Saya tak reti. Habis tembikai itu ditoreh. Melihat keadaan tembikai saya, Uncle terus menyindir dengan menyatakan bahawa, kalau tembikai itu kepala orang, orang itu sudah jadi teruk!” ujarnya tersenyum.

 

Tanpa rasa putus asa, setiap hari, Khasim berulang-alik ke kedai gunting tersebut dan ‘berlatih’ dengan tembikai sebagaimana diarahkan.

 

Kira-kira dalam tempoh sebulan, barulah beliau dapat menguasai kemahiran tersebut yang mana kini menjadi salah satu sumber rezekinya selain mengurut.

 

Sebagai perancangan masa depan, Khasim tidak menafikan bahawa beliau menyimpan cita-cita untuk memperbesarkan prospek perkhidmatan serta perniagaan mengguntingnya.

 

Malah, beliau kini juga dalam proses memahiri teknik mengurut tapak tangan.

 

Uniknya, selepas tamat sesi mengurat, setiap pesakit adalah diwajibkan minum ‘air kosong’ yang turut disediakan beliau.
“Minum air mesti lebih. Kira-kira empat liter sehari untuk buang yang kotor. Malah, tidur juga perlu lena. Walaupun sejam, tapi lena sudah dikira cukup,” nasihat beliau.

 

Bagi golongan wanita, sebelum memulakan proses mengurut, Khasim akan bertanyakan terlebih dahulu sama ada ‘datang kotor’ (haid) ataupun tidak. Ini adalah bagi memastikan beliau tidak ‘mengacau’ peranakan seseorang yang dalam tempoh haid.

 

Sebelum mengakhiri sesi temubual berkenaan, dengan ringkas, Khasim menyatakan, “Yang Allah bagi, kita usaha sahaja”.

 

 

 

INFO :

012 – 401 7410

emel : [email protected]

Waktu mengurut : 8 pagi – 11 pagi ; 8 malam – 11 malam

Gunting rambut : Tengah hari