Jururawat sertai ultramarathon kumpul dana amal

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti menyalurkan sumbangan RM5,000 bagi membolehkan seorang jururawat pertubuhan kebajikan, Charis Hospice menyertai larian ultramarathon bagi mengumpul dana membantu pesakit-pesakit berkenaan di sini.

Exconya, Chong Eng berkata, sumbangan disampaikan kepada jururawat berkaitan, Christine Loh Woon Chze, 28, adalah bagi membolehkan beliau mewakili pertubuhan tersebut dalam acara ultramarathon, The Vibram Hong Kong 100 yang bakal berlangsung di Hong Kong pada 17 – 18 Januari 2015.

“Sumbangan ini diharap dapat memberi semangat buat Woon Chze meneruskan cabaran berlari sejauh 100 kilometer bagi mengumpul dana membantu pesakit-pesakit di Charis Hospice.

“Semangatnya wajar dicontohi semua belia terutama berhubung penglibatan beliau dalam aktiviti amal,’’ katanya pada sidang media penyerahan sumbangan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Perubatan Charis Hospice, Dr. Oo Loo Chan. Dalam pada itu, Woon Chze ketika ditemui berkata, beliau amat teruja untuk memulakan cabaran di Hong Kong dan berharap agar lebih ramai tampil untuk menyumbang serta membantunya menghulurkan bantuan kepada pesakit-pesakit di Charis Hospice.

“Setiap orang yang berlari mempunyai tujuan dan matlamatnya tersendiri. Bagi saya, kali ini, saya berlari untuk membantu pesakit-pesakit di sini (Charis Hospice),” ujarnya ringkas. Woon Chze telah berkecimpung dengan aktiviti larian sejak 2012. Terbaru, beliau telah mendapat tempat ke-11 dalam kejohanan Penang International Bridge Marathon 2014 bagi kategori terbuka wanita dan menjadi juara Penang Tanjung Run 10km, kategori sama.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Brenda di talian 011 – 1246 6757 (waktu pejabat) atau 04 – 827 9668 atau emel ke charishospice@ gmail.com atau kunjungi laman Facebook, Charis Hospice di https://www.facebook.com/ charishospice.penang.
Charis Hospice adalah sebuah pertubuhan yang menawarkan perkhidmatan penjagaan paliatif dan perubatan secara percuma kepada pesakit-pesakit kanser serta lain-lain penyakit kritikal.