RM1 juta naiktaraf kemudahan Taman Seri Damai – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

BATU LANCHANG – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM11.3 juta bagi membiayai kerja-kerja menaiktaraf dan memperbaiki kemudahan secara berperingkat di 49 rancangan perumahan Kerajaan Negeri melibatkan 15,431 unit rumah di sini.

“Usaha ini diteruskan lagi tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM15.11 juta termasuk penyelenggaraan, pengecatan, pemodenan lif dan penggantian tangki air.

“Di Taman Seri Damai, bagi kerja-kerja penggantian tangki air, 80 peratus kos penyelenggaraan dibiayai Kerajaan Negeri melalui tabung penyelenggaraan HAPPY! (Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang) iaitu sebanyak RM137,680.

“Manakala, baki 20 peratus lagi atau RM34,420, ditanggung Danny Law (Heng Kiang) selaku ADUN kawasan dan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi (Chuan Aun) menerusi peruntukan pembangunan kawasan.

Penduduk tidak perlu mengeluarkan satu sen pun kerana 20 peratus bahagian penduduk telah dibiayai,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Lif Baru di Blok 23, Taman Seri Damai di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Law Heng Kiang, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong serta Harvindar Singh, Penghulu Jelutong, Khalid Zakaria dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Seri Damai, Salleh Yahaya.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM1 juta sejak enam tahun lalu bagi menaiktaraf kemudahan lif di tiga buah blok 16 tingkat, flat Taman Seri Damai, Batu Lanchang di sini.

“Perbelanjaan RM1 juta tersebut termasuk penggantian lif di tiga blok iaitu Blok 25, Blok 21 dan Blok 23 serta pembaikan dan penggantian tangki air di Blok 25 dan Blok 21.

“Sebelum ini, pada tahun 2011 dan 2012, dua lif di Blok 25 dan Blok 21 telah ditukar baru dengan kos RM153,330 setiap satu. Tahun ini pula, melibatkan penggantian lif di Blok 23 yang juga melibatkan kos RM153,330 seunit.

“Manakala, bagi tangki air, penggantian sebelum ini adalah pada tahun 2012 di Blok 25 dengan kos RM162,400 dan tahun ini (penggantian tangki) melibatkan Blok 21 dengan kos RM172,100 seunit,” jelasnya.

Bagi Heng Kiang, pembukaan lif baru di Blok 23 di sini menjadi suatu sejarah, kerana buat pertama kalinya sejak 2005, enam unit lif di ketiga-tiga blok berfungsi sepenuhnya.

“Sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pentadbiran, lif-lif yang rosak sejak bertahun-tahun lamanya tidak dapat diganti baru.

“Penduduk terpaksa menggunakan tangga dan paling teruk, warga emas terpaksa didukung untuk naik ke rumah mereka,” ujar beliau.

Heng Kiang yang juga merupakan Exco Pembangunan Pelancongan berkata, beliau memperuntukkan sejumlah RM20,000 untuk menaiktaraf dewan dan RM29,380 bagi membiayai kos pemasangan peti surat baru di kesemua blok di Taman Seri Damai pada tahun lalu.

Flat kos rendah Taman Seri Damai mempunyai tiga blok iaitu Blok 21, 23 dan 25 dengan kepadatan 570 unit.