Sayang Aqilah Satira di ‘Kasih Abadi’

BAGI yang berkunjung ke Gedung Tesco Extra dekat Seberang Jaya pada sebelah malam hari Jumaat hingga Ahad, tentu mereka terdorong melihat koreografi damai sekumpulan kanak-kanak, bersulam bait lagu indah belaka.

Semuanya secara percuma, hiburan sederhana yang sarat dengan pengajaran yang kadang-kadang menggamit rasa rindu kepada Allah dan Rasul.

Sehinggakan ada yang bertanya, siapa mereka? Apa sebenarnya dilakukan oleh mereka ini?

Wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB berpeluang mendekati ‘orang kuat’ di sebalik projek amal ini.

Beliau tak lain tak bukan adalah Puan Aqilah Satira Mohd. Yusof, 47, wanita kental dan ibu kepada sembilan anak.

“Ini, kita panggil tarian sufi moden, semua yang terlibat di atas pentas ini adalah anak-anak terpilih dari rumah pelindungan Pusat Jagaan Kasih Abadi yang dibimbing oleh remaja dari Akademi Generasi Harapan.

“Tarian Sufi Moden ini membawa mesej hiburan yang memujuk kita semua untuk mencintai Allah dan merindui Rasul-Nya, melalui lagu-lagu teladan daripada terjemahan suatu suci Al-Quran, hadith, kisah-kisah sahabat dan sebagainya,” ujarnya semasa ditemui di gedung membeli-belah berkenaan.

Difahamkan, semasa itu, Aqilah Satira sedang mengikuti dari dekat raptai persembahan anak-anak terpilih berkenaan untuk Karnival Maulidur Rasul 1436H di gedung berkenaan yang dijadual bermula pada 12 Rabiulawwal bersamaan 3 Januari 2015.

SEPENUH MASA DAKWAH
Tahu tidak tahu, Aqilah Satira merupakan seorang graduan dari University of Essex, England dari tahun 1988 hingga 1991 dalam bidang T.E.S.L atau Teaching of English as a Second Language.

Sejak di luar negara lagi, wanita kental berkenaan berjinak-jinak dengan pergerakan dakwah dalam dunia pendidikan kanak-kanak.

Sekembalinya ke tanah air, beliau sempat menjadi guru Bahasa Inggeris sebelum mengambil keputusan untuk terjun sepenuh masa dalam pergerakan amal serta dakwah, sebagaimana dilihat di Pusat Jagaan Kasih Abadi yang ada pada hari ini.

Baginya, beliau mahu membawa kelainan pada Pusat Jagaan Kasih Abadi dengan memberi penumpuan pada pendidikan hati atau rohani.

“Pusat Jagaan Kasih Abadi ini sangat mementingkan pendidikan hati atau rohani dalam tempoh 24 jam kerana rohani yang disirami rasa kuat dengan Allah dan Rasul akan melahirkan keperibadian yang agung. Ia bermula dengan sembahyang yang dihayati.

Sembahyang untuk membesarkan dan meng-agungkan Allah. Ini ditanam dalam jiwa anak-anak Pusat Jagaan Kasih Abadi sejak mereka kecil lagi.

“Yang paling penting adalah hati, kerana hati yang bersih akan mendorong pembentukan rohani, jasmani, emosi dan mental yang baik,” jelas Aqilah Satira.

Katanya, Rasulullah S.A.W sendiri pernah bersabda yang bermaksud, “Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”

[Hadis sahih riwayat al-lmam alBukhari dan Muslim] Setakat ini, kata beliau, seramai 18 kanak-kanak terpilih yang menghuni Pusat Jagaan Kasih Abadi berusia antara enam tahun hingga 12 tahun.

Setiap hari, apabila pulang dari Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, mereka ini menerima pembelaan, kasih sayang dan didikan yang berterusan dari tim penjaga yang berjiwa muroqib.

“Bukan tak baik institusi pendidikan hari ini, tapi yang terlalu diberi fokus hanya lah pada akal seperti pencapaian akademik semata – mata, sedangkan bagaimana dengan didikan rohani?

“Kita lihat dunia barat yang membangun maju, tetapi nilai insaniah mereka hancur bukan?

“Islam memberi jalan keluar iaitu membangunlah, tetapi sertailah dengan keimanan, iaitu rasa takutkan Allah dan rindukan Rasul, insyaAllah lahirlah tamadun manusia yang selamat dan menyelamatkan orang lain.

“Jadi, hati ini mesti dihidupkan dengan perasaan takut dan cintakan Allah serta rindukan Nabi, barulah akan wujud kasih sayang sesama manusia.

“Sebagai contoh, solat. Semua kita (umat Islam) solat, tetapi, tak semua merindui Allah dalam solatnya dan di luar solatnya.

“Islam agama kasih sayang, maka hati ini mesti dipagar dengan takut dan cintakan Allah serta rindukan Nabi, barulah lahir kasih sayang sejati sesama manusia,” ujar Aqilah Satira semasa diminta menjelaskan falsafah pendidikan yang cuba diterapkan di Rumah Jagaan Kasih Abadi.

Tambah beliau, banyak pihak sebenarnya menyokong usaha amal ini.

“Alhamdulillah, banyak pihak membantu…macam Pusat Jagaan Kasih Abadi sendiri yang tiap-tiap bulan memerlukan kira-kira RM10,050 untuk sewa rumah, keperluan sekolah anak-anak, utiliti, makan minum dan kebajikan tiga staf. Mereka dididik untuk meminta kepada Allah, maka ada sahaja hati yang tampil menyumbang,” jelas beliau.

DUNIA KORPORAT
Menurut Aqilah Satira, Rumah Pusat Jagaan Kasih Abadi merupakan salah satu projek amal di bawah GISB Holdings Sdn. Bhd..

Selain mengurus pusat pelindungan tersebut, beliau juga mengurus kilang memproses ayam Ikhwan di Seberang Perai Utara.

“Kilang ayam Ikhwan adalah salah sebuah kilang di bawah GISBH yang sangat menitik beratkan hal taharah (kesucian) sumber makanan yang dimakan oleh kita tiap-tiap hari.

“Saya sebenarnya salah seorang tim pengurusan kilang memproses ayam Ikhwan di Lahar Yooi atas nama (syarikat) Cahaya NM Sdn. Bhd..

“Selain kilang memproses ayam, GIHSB ini turut mempunyai rangkaian kafe di tiap-tiap negeri di Malaysia dan juga di luar negara, seperti di Manchester (United Kingdom), Frankfurt di Jerman, Istanbul (Turki) dan di beberapa negara dekat Timur Tengah dan Asia Tenggara.

“Ramai orang yang hendakkan Islam akan ke masjid, tetapi, kita cuba membawa kongsikan keindahan Islam di luar masjid seperti di gedung membeli-belah ini, di kilang kita, ke Rumah Jagaan Kasih Abadi dan di restoran-restoran yang dibuka di tanah air dan luar negara,” tambah Aqilah Satira.

HARAPAN
Aqilah Satira merakamkan penghargaan kepada Cik Hajar dari pihak Tesco Seberang Jaya di atas peluang yang mereka berikan sehingga berlaku kerjasama indah atas nama Program Masyarakat Penyayang untuk membawa anggota masyarakat samada korporat atau individu untuk lebih prihatin lagi dengan tanggungjawab sosial masing-masing terhadap program amal yang dilakukan melalui Pusat Jagaan Kasih Abadi.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana GISBH turut ditaja sebuah booth pameran oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I atas nama Usahawan pada Penang International HALAL Expo & Conference 2015 (PIHEC) yang dijadual selama tiga hari mulai 30 Januari ini di Subterranean Penang International Convention and Exhibition (SPICE) dekat Bayan Baru.

“Insya-Allah, kita akan menyertai PIHEC untuk mempromosi produk halal lagi suci jenama Ikhwan ini.

“Hati yang cintakan Allah dan rindukan Rasul-Nya, akan melimpah kasih sayang sesama insan,” jelas Aqilah Satira.