Lesenkan anjing sebelum penguatkuasaan

Oleh : WATAWA NATA F ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN WEI

 

AIR ITAM – Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), S. Sukumar menyeru semua pemilik anjing agar dapat melesenkan binatang peliharaan itu serta-merta sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Menurutnya, melesenkan anjing bukan suatu beban kerana bayaran yang dikenakan adalah cukup rendah iaitu RM10 bagi seekor anjing untuk tempoh setahun.

“Ini adalah selaras dengan Undang-undang Kecil 1997 dan bagi pemilik yang gagal berbuat demikian dan dikenalpasti bakal dikenakan denda sebanyak RM250.

“Malah, selain kesalahan tidak memiliki lesen, denda RM2,000 dan penjara setahun juga boleh dikenakan kepada pemilik yang membiarkan anjing terus menyalak, tidak diberi makan secara terurus dan tidak memberi vaksin untuk pencegahan penyakit,’’ jelasnya ketika mengedarkan risalah kesedaran pemilikan lesen anjing di Jalan Zoo di sini baru-baru ini.

Menurut Sukumar, mengikut rekod MPPP, anjing yang dilesenkan kini hanya sekitar 33 peratus bersamaan  satu pertiga daripada jumlah pemilik yang mempunyai lesen.

“ Bagi baka anjing seperti Pit Bull Terrier , American Bulldog, Neopolitan Mastiff, Japanese Tosa , Akita , Dogo Argentino dan Fila Brazilliero merupakan jenisjenis anjing yang tidak dibenarkan masuk ke Malaysia dan tidak boleh dilesenkan,” tegas beliau.

Tambahnya, pemeriksaan berkala akan dijalankan dari semasa ke semasa di kawasankawasan kejiranan yang mempunyai anjing peliharaan.

“Pada masa sama, pemilik anjing turut digalakkan untuk meletak papan tanda amaran di luar premis atau kediaman masing-masing sebagai amaran dan keselamatan awam,’’ ujar Sukumar.} else {