Sayangi alam sekitar bermula pada umur yang muda

Oleh : PENANG GREEN COUNCIL (PGC)

SATU Kem Hijau Muda telah diadakan pada 18 Disember 2014 (Khamis) khas untuk mendidik kanak-kanak yang berumur 5-6 tahun tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Kem ini merupakan anjuran bersama Penang Green Council (PGC) dan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) serta Badan Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Seramai 40 kanak-kanak dari Melody Kindyland Sg. Ara yang diteman oleh 6 orang guru tadika telah menghadiri  kem ini yang mengambil tempat di INFORMM, USM.

Sepertimana Kem Hijau yang lain, Kem Hijau Muda ini telah dirancang supaya kanak-kanak dapat bermain sambil belajar. Topik utama yang diliputi termasuk pengasingan sampah dari sumber, konsep 3R, kompos dan penjimatan sumber air dan tenaga.

Pendedahan yang diberikan kepada kanak-kanak penting kerana tabiat baik seperti kitar semula dan pengurangan pembaziran harus dipupuk dari umur yang muda. Selain daripada itu, diharapkan juga para peserta berupaya untuk membawa mesej yang dipelajari kepada ibu bapa dan seterusnya membantu memulakan amalan hidup hijau di rumah.

Program ini turut memberi peluang kepada ahli akademik dan bukan akademik dari pihak INFORMM, USM turun padang untuk berkhidmat kepada komuniti dan masyarakat. Mereka turut didedahkan kepada kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan pendidikan konservasi kepada generasi muda pada umur yang kecil.