Sejak 2012, seunit PR1MA pun gagal Pusat bina di P. Pinang – Exco

GEORGE TOWN – Sejak tahun 2012, Kerajaan Persekutuan didakwa gagal membekalkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) walaupun seunit rumah awam berkaitan untuk warganegara yang tinggal di negeri Pulau Pinang.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Kerajaan Negeri pada tahun ini baru menerima permohonan membina unit PR1MA, namun, tidak mengikut syarat-syarat pemajuan yang digariskan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Sehingga sekarang, satu pun unit (PR1MA) belum dibina.

“Selepas berulang kali saya menulis surat kepada Kerajaan Pusat, pada bulan Disember 2015, baru permohonan PR1MA diterima daripada Kerajaan Pusat ke negeri Pulau Pinang.

“Saya pun tidak faham sama ada ikhlas atau tidak mereka (Pusat) kerana permohonan PR1MA ini tidak menurut syarat-syarat dan garis panduan yang wujud di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sesi wawancara khas di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Garis panduan Kerajaan Negeri yang dimaksudkan, katanya, seperti larangan projek pemajuan di atas tanah berketinggian 76 meter atau 250 kaki daripada paras laut.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, garis panduan Kerajaan Pusat pula meletakkan paras nasional untuk pemajuan projek perumahan di ketinggian 150 meter atau 500 kaki dari paras laut.

“Kita (Kerajaan Negeri) ada menerima permohonan PR1MA dan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang memohon untuk membina perumahan di atas kawasan (berketinggian) lebih 76 meter, iaitu pada ketinggian antara 80 meter hingga 120 meter.

“Satu lagi contoh di kawasan (Parlimen) Balik Pulau, kita (Kerajaan Negeri) tak benarkan projek perumahan bertingkat tinggi, cuma di kawasan pusat Balik Pulau baru-baru ini kita
benarkan sampai 12 tingkat.

“Tetapi, di luar kawasan luar Balik Pulau, kita (Kerajaan Negeri) tak benarkan. “(Pun begitu) di kawasan Kuala Sungai Pinang, iaitu di luar kawasan pusat bandar Balik Pulau, memang ada permohonan membina sampai 29 tingkat.

“Inilah malangnya, sama ada mereka (PR1MA) ikhlas untuk membekalkan unit rumah atau tidak, ia sesuatu yang tidak boleh diterima, kerana Kerajaan Pusat memang mempunyai tanggungjawab untuk membekalkan rumah awam kepada rakyat Malaysia di Pulau Pinang,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep memberitahu bahawa rakyat Pulau Pinang yang sehingga ketika ini tidak menikmati unit PR1MA seakan-akan tidak mendapat sebarang manfaat, sungguhpun Kerajaan Persekutuan dalam pembentangan Bajet 2017 Pusat baru-baru ini mengumumkan pelbagai jenis projek perumahan.