Serambi PI: Ucapan perbahasan RUU Perbekalan 2018 (Bahagian 1)

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI
Felo Penang Institute merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera

Tragedi Tanjung Bungah

Tuan yang dipertua,

PADA 21 Oktober 2017 yang lalu, telah berlaku satu kemalangan tragis di tapak pembinaan skim perumahan mampu milik di Lembah Permai, Tanjung Bungah, yang mengorbankan 11 nyawa pekerja– termasuk seorang rakyat
Malaysia. Kejadian ini merupakan satu tragedi yang menyayat hati, lebih-lebih lagi buat keluarga mangsa. Saya sendiri berada di sana selama dua hari dan berasa sangat sayu apabila melihat pasukan penyelamat menarik keluar mayat mangsa satu demi satu dari runtuhan.

Tidak boleh dinafikan bahawa jentera Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bertindak dengan cukup cepat dan tegas. Dalam masa kurang sejam peristiwa berlaku, pemimpin negeri sudah berada di lokasi untuk membantu mengawal keadaan dan memudahcara operasi mencari dan menyelamat, bersamasama dengan semua agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan lain-lain lagi.

Pada tengahari itu, Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri melawat tapak tersebut dan terus mengumumkan bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Negeri yang bebas akan diwujudkan bagi memastikan tiada perkara disembunyikan demi mengenal pasti punca kemalangan. Suruhanjaya tersebut juga diberi mandat untuk memanggil sesiapa sahaja untuk disoal siasat. Tambahan
kepada itu, semua minit mesyuarat dan surat-surat rasmi yang berkaitan dengan projek tersebut juga telah didedahkan atas nama ketelusan.

Pada masa yang sama, arahan berhenti kerja dikeluarkan dengan segera kepada pemaju, sementara perunding profesional dan kontraktor utama yang terlibat dalam projek tersebut disenarai hitamkan sehingga keputusan siasatan diperolehi. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memerintahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang untuk membuat laporan polis untuk menyiasat kemungkinan terjadinya kecuaian profesional (professional negligence). Bagi Kerajaan Negeri, keutamaan adalah untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan. Tiada kompromi dalam hal ini.

Walaupun telah menunjukkan tahap komitmen yang tinggi, Kerajaan Negeri terpaksa berhadapan dengan media arus perdana dan pihak-pihak tertentu yang ingin mengkambinghitamkannya seolaholah peristiwa itu merupakan salah Kerajaan Negeri. Mereka cuba menggambarkan kononnya Kerajaan Negeri tidak menuruti tatacara pengendalian serta prosedur yang standard dan betul dalam memberi kelulusan bagi projek tersebut.

Tuduhan ini merupakan fitnah semata-mata, dan saya amat kesal dengan pihak – pihak yang mempolitikkan tragedi ini. Contohnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang mengeluarkan kenyataan mengecam Kerajaan Negeri kerana meluluskan projek walaupun menerima bantahan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai kuari serta lereng bukit yang curam. Dalam kenyataan Kementerian bertarikh 22 Oktober, Kerajaan Negeri didakwa tidak menerima nasihat JAS untuk mendapatkan penilaian impak alam sekitar (environmental impact assessment, EIA).

Kenyataan ini sungguh tidak bertanggungjawab dan berniat untuk mengelirukan. Apabila semakan dibuat, ulasan daripada JAS melalui surat bertarikh 23 Januari 2015 menyatakan bahawa mereka tidak menyokong permohonan pemajuan tersebut atas sebab jarak kuari yang berdekatan, dan langsung tidak menyebut mengenai lereng bukit atau keperluan EIA.

Anehnya, JAS tidak pula membantah apabila Kerajaan Negeri terdahulu meluluskan Kolej Tunku Abdul Rahman yang terletak bersebelahan projek di mana kemalangan berlaku. Malah, jaraknya dari kuari juga lebih kurang sama jika tidak lebih dekat kepada tapak letupan. Tidakkah ini membuktikan sikap dwi-standard JAS?

Pada masa yang sama, rakan-rakan saya dari Sarawak telah memaklumkan bahawa terdapat dua kuari di Kuching, satu di Batu Tujuh dan satu lagi di Batu Stigang, yang terletak berhampiran dengan kawasan perumahan dengan jarak antara 250 hingga 350 meter sahaja dari tapak letupan – jauh lebih dekat berbanding projek yang ditimpa kemalangan. Jadi, mengapakah JAS boleh bertindak membantah projek perumahan mampu milik di Tanjung Bungah tetapi tidak membantah projek yang lebih teruk pelanggaran syaratnya?

Sehubungan dengan itu, Kementerian juga senyap mengenai hakikat bahawa Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), juga sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, telah memberi lampu hijau kepada pemajuan yang sama di Tanjung Bungah. Perlu ditekankan di sini bahawa JMG merupakan agensi pakar bagi aktiviti pelombongan termasuk kuari serta kestabilan tanah dan lereng. Dalam erti kata lain, ulasan JMG dalam hal ini adalah lebih kritikal berbanding agensi-agensi lain, dan kelulusan telah diberikan oleh pihak berkuasa tempatan atas dasar sokongan daripada agensi pakar. Pada masa yang sama, selain JAS, tiada jabatan teknikal lain yang membantah projek tersebut. Pun begitu, kenyataan turut dibuat dalam dewan yang mulia ini oleh Yang Berhormat Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mendakwa kononnya PLANMalaysia (dahulu dikenali sebagai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) telah menolak permohonan pemajuan tersebut. Namun menurut surat jabatan itu sendiri kepada pihak berkuasa tempatan yang bertarikh 11 Disember 2014, mereka tidak membantah malah menyatakan tiada halangan.

Saya juga ingin tambah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya mengamalkan syarat yang lebih ketat dalam hal pembangunan di lereng bukit berbanding Kerajaan Persekutuan. Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melarang sama sekali pembangunan yang melebihi 76 meter dari paras laut manakala garispanduan Kerajaan Persekutuan menetapkan 300 meter sebagai paras maksima. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat tegas dalam hal pembangunan, tidak seperti yang
didakwa oleh sesetengah pihak.

Jelas, terdapat usaha berniat buruk oleh pihak sebelah sana untuk memfitnah dan menyalahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kemalangan yang berlaku. Saya mengecam tindak tanduk sedemikian kerana ia hanya akan menggangu siasatan serta menimbulkan kekeliruan dan kesusahan hati, khususnya bagi keluarga mangsa. Tindakan keji mereka yang mempolitikan isu ini amat dikesali.

Mengangkat martabat pasukan bomba

Tuan yang dipertua,

Rentetan tragedi di Tanjung Bungah, saya ingin mengambil kesempatan ini bagi pihak rakyat Tanjung Bungah dan semua yang terlibat untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (bomba) yang telah menunjukkan dedikasi dan sikap kerja yang tidak mengenal putus asa. Usaha mereka yang berterusan selama 48 jam berturut-turut telah memungkinkan kesemua mayat mangsa dikeluarkan dengan segera walaupun tertimbus dalam runtuhan yang begitu besar.

Seramai lebih kurang 200 anggota bomba telah berkampung di kawasan kemalangan siang dan malam dengan membentuk tiga kumpulan yang bekerja secara bergilir-gilir bagi membolehkan operasi penyelamatan dilakukan secara 24 jam tanpa henti.

Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan daripada lima buah balai bomba, iaitu Bagan Jermal, Prai, Jalan Perak, Paya Terubong dan Kepala Batas atas komitmen mereka dalam menghadapi situasi mencabar ini. Pada masa yang sama, operasi ini tidak akan berjaya tanpa bantuan dan sokongan daripada pasukan ibu pejabat dari Putrajaya serta pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team), pasukan STORM (Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia) dan unit pengesan (K9) yang telah menyumbang kepakaran mereka. Tidak dilupai juga pasukan-pasukan bomba sukarela yang telah membantu menjayakan operasi.

Semua warga bomba telah sekali lagi membuktikan bahawa mereka mempunyai kepakaran teknikal yang serba boleh dan mampu menghadapi apa juga cabaran. Operasi yang dilakukan tidak mudah apabila terdapat banyak cerucuk besi, batuan besar serta tanah liat yang melambatkan usaha mencari dan menyelamat. Mujur, dengan kepakaran pasukan bomba, segala cabaran dapat diatasi dalam masa yang singkat.

Walaupun senantiasa berhadapan dengan risiko yang amat tinggi, khususnya semasa kebakaran atau operasi penyelamatan dalam keadaan tanah runtuh, banjir dan musibah lain, pengorbanan anggota bomba seringkali kurang diiktiraf. Ini jelas terbukti apabila skim perkhidmatan mereka yang terletak di bawah Perkhidmatan Awam Am dianggap lebih rendah tarafnya berbanding Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Oleh yang demikian, saya ingin mengulangi cadangan yang pernah saya buat di dewan yang mulia ini, iaitu untuk menyelaraskan skim gaji anggota bomba agar setaraf dengan pasukan polis, kerana pelaksanaan tugas dan tanggungjawab pasukan bomba secara lazimnya mendedahkan mereka kepada risiko tinggi dan keadaan yang amat sukar dan bahaya.

Pada masa yang sama, elaun dan kemudahan pegawai bomba juga harus dikaji semula agar setimpal dengan tanggungjawab mereka serta kos sara hidup yang kian meningkat. Sebagai contoh, beban kerja anggota bomba di kawasan bandar adalah jauh lebih berat berbanding rakan sejawatan mereka di kawasan luar bandar atau separa bandar. Kadar kemalangan, kebakaran dan bencana adalah tidak sekerap berbanding di bandar.

Tambahan lagi, kos untuk menyara diri dan keluarga di kawasan bandar adalah jauh lagi mahal. Namun, tiada elaun khas atau elaun tambahan selain Bantuan Sara Hidup (cost of living allowance, COLA) yang tidak seberapa. Seharusnya patut diwujudkan satu elaun khas, umpamanya “elaun risiko” yang menjadi kelaziman di negara-negara lain, berdasarkan kesukaran kerja dan tahap bahayanya sesebuah kawasan.

Sudah tiba masanya kita menghargai jasa dan pengorbanan anggota bomba kita. Tanpa wirawan kita ini, bagaimanakah boleh kita berhadapan dengan bencana-bencana yang melanda negara kita? Oleh itu, saya harap Kerajaan dapat mempertimbangkan penyemakan semula skim perkhidmatan bomba dan menaikkan gaji agar setaraf dengan rakan polis mereka. Dalam
pada itu, semakan skala gaji serta penambahan elaun dan kemudahan sudah tentu akan menjadikan kerjaya ini lebih menarik kepada generasi muda.

 

 


Comments are closed.



Artikel Terkini

Like Our Facebook Page

Muat Turun Buletin Mutiara

Twitter

Buletin Mutiara Videos

Komen Terkini

  1. Program tersebut telah lama diadakan sej... in ADUN komited teruskan program gunting rambut percuma
    on September 9, 2015
  2. Saya ingin tahu rumah terbuka di seluruh... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on August 3, 2015
  3. 1 Ogos 2015 - Ahli Parlimen Bukit Bender... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015
  4. Salam hormat, Berikut adalah senarai y... in Salam Aidilftiri daripada kami di Buletin Mutiara, Maaf Zahir & Batin
    on July 21, 2015

Archives