Pelaburan Pulau Pinang dahului negeri lain untuk tempoh enam bulan pertama – KM

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALVIE CHENG

PANTAI JEREJAK – Pulau Pinang berjaya menarik RM7.7 bilion pelaburan bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2017, mendahului negeri-negeri lain, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

“Ini diikuti Melaka dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.9 bilion, Selangor (RM1.7 bilion) dan Johor (RM1.4 bilion).

“Ini menunjukkan komitmen kerja yang baik oleh PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan investPenang (iP) dalam menarik pelaburan negeri,” ujarnya yang juga Pengerusi PDC sempena Majlis Sambutan Perayaan Deepavali perbadanan berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II merangkap Penaung Persatuan Hindu PDC) dan barisan Exco Kerajaan Negeri. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC) dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang turut menyertai majlis sambutan berkenaan.

Tambah Guan Eng, PDC telah melancarkan enam projek infrastruktur di Seberang Perai bagi menerajui pertumbuhan dan pembangunan dengan nilai sebanyak RM121.08 juta.

“Ini tidak termasuk kos pengambilan tanah bernilai RM48 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM169.716 juta.

“Selain infrastruktur, PDC turut melancarkan projek RIBI (Rumah Ibadat Bukan Islam) sebanyak 50 ekar untuk dijual di kawasan Batu Kawan dalam memastikan tanah yang mencukupi bagi bukan beragama Islam di kawasan pembangunan Seberang Perai,”  jarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.